16 Januari 2011

Sinar Harian : Daif Tanah Ladang Dipajak

Sumber : Sinar Harian Edisi Pahang

JENGKA 1 – Seorang ibu tunggal ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila hidupnya yang sebelum ini kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mungkin tidak mampu lagi menampung kehidupannya akan datang.

Che Su Abu Bakar, 53, berkata, kehidupannya bertambah perit sejak ladang sawitnya seluas 10 ekar dipajakkan arwah suaminya untuk tempoh 10 tahun kepada pihak ketiga. Menurutnya, selepas tamat tempoh pajakan 10 tahun dan sejak kematian suami beberapa tahun lalu, dia menyambung tempoh pajakan untuk lima tahun lagi bagi memperoleh wang untuk memperbaiki rumahnya. “Namun kerja pembinaan rumah di belakang rumah asal saya terbengkalai malah rumah asal yang diduduki kini juga semakin uzur."

“ Sebelum ini perbelanjaan harian diperoleh melalui hasil upah mengutip buah kelapa sawit relai namun sejak seminggu yang lalu saya tidak mampu lagi bekerja kerana di serang strok,” katanya. Menurutnya, kini dia hanya bergantung harap kepada anak juga jiran-jiran serta pengurusan setempat yang membantu menghulurkan bantuan.

Che Su ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin, pengurusan Felda juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menitiskan air mata sambil menceritakan penderitaannya.

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa tempoh pajakan ladang sawit Che Su bagi keluasan lima ekar akan tamat pada November ini manakala lebihan lima ekar lagi akan tamat pada 2015.

Shahaniza turut memberikan sumbangan peribadi dan menasihatkan kepada Che Su untuk menyerahkan ladang sawitnya kepada pihak pengurusan Felda setelah mendapat semula ladangnya daripada pemajak agar nasibnya lebih terbela.

“Alhamdulillah Che Su mendengar nasihat dan tidak mahu lagi tinggal dalam keadaan kedaifan ini lagi atas kesilapannya membuat keputusan untuk menyerahkan ladangnya kepada pihak ketiga dan bukannya kepada pengurusan Felda selepas memperoleh ladangnya kembali kelak."

“Kes yang berlaku kepada Che Su ini bukanlah kes pertama yang saya temui namun banyak lagi kes seumpama ini berlaku kepada para peneroka dan saya bertanggungjawab menasihatkan para peneroka agar tidak terburu-buru untuk memperoleh keuntungan cepat dengan bertindak menyerahkan ladang kepada pihak ketiga,” katanya.

Shahaniza menasihatkan peneroka terus bersama pihak Felda dengan pelbagai faedah yang disediakan di samping wang pendapatan hasil jualan sawit setiap bulan, mereka juga layak untuk memohon pelbagai pinjaman samada pinjaman perumahan atau pendidikan.

Shahaniza juga turut memaklumkan akan cuba memanjangkan permohonan Che Su kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperoleh bantuan memperbaiki rumahnya yang terbengkalai.

~

*** Baca juga kisah ini di Blog Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin.

~

3 ulasan:

abadi romeo berkata...

Bila mendengar kedaifan peneroka sebenarnya ramai yg tak akan percaya dengan harga komoditi yg melambung tinggi.Sepatutnya tiada lagi jenis subsidi harus di berikan kepada peneroka kerana mereka memiliki tanah seluas 10 ekar yg produktiv jika di urus degan baik.
Pembelaan seharusnya ditumpukan kepada generasi kedua yang tidak mempunyai apa2..sekadar menjadi penunggu..silap haribulan jadi momok.

ahmadsofianali berkata...

inilah punca2nya orang peneroka cakap kerajaan @ felda zalim. yang ada ladang pergi pajak, pengurusan felda pulak tidak memberi khidmat nasihat kepada peneroka. saya cadangkan felda menubuhkan satu dana pajakkan kepada felda sendiri bagi menjamin kehidupan peneroka semua. jika mereka tidak dapat tebus semula, sekurang2nya felda dapat memberi wang ehsan kepada peneroka2 terlibat.

hisham berkata...

semua salahkan felda....
sedih aku dengan sikap orang melayu.
sampai bila nak tadah tangan meminta pada kerajaan.
dah dapat tanah..rumah usaha la.
yang pergi pajak ke pihak ketiga tu pasal apa.
ini adalah beberapa kerat penoroka yang jadi penyokong pembangkang.
apa saja nak bangkang.
sudahnya sendiri yang susah..
mudah salahkan felda...
semua penoroka datang ketanah felda dulu sama...tapi kenapa ada yang berjaya?

Powered By Blogger