28 November 2009

Jengka 3 : Undangan Majlis Cukur Jambul & Berendoi

28 November 2009 : Atas undangan En Ghani Maulud, seorang peneroka Felda Jengka 3, hari ini Dato' Shahaniza meluangkan masa dalam Majlis Cukur Jambul dan Berendoi bagi 2 orang cucu peneroka tersebut.
Majlis tersebut diadakan penuh kesederhanaan tetapi meriah dengan diiringi selawat dan berzanji sebagai tanda kesyukuran dan mendoakan kesihatan bayi tersebut.
Menurut Dato' Shahaniza, amalan warisan melayu terdahulu dilihat masih mendapat sambutan dikalangan penduduk yang merasakan ia perlu diteruskan agar tidak dilupai oleh generasi akan datang. Tambahnya lagi, majlis seperti ini perlu diteruskan keranan upacaranya memang menarik dan memperlihatkan budaya dan tradisi masyarakat Melayu berbeza dengan kaum lain.
En Ghani Maulud pula berkata, amalan ini bukannya satu kewajipan namun ia diadakan sekadar meraikan kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu dalam mana-mana keluarga sebagai tanda kesyukuran.

27 November 2009

Jengka 5 : Majlis Korban Aidil Adha

27 November 2009 : Selaras dengan tuntutan agama, hari ini Dato' Shahaniza dan keluarga menyumbangkan seekor lembu bagi tujuan ibadah korban. Majlis ibadah korban ini telah dijalankan di Jengka 5 dengan bantuan penduduk di situ.
Untuk makluman, program seperti ini adalan amalan setiap kali Aidil Adha oleh Dato' Shahaniza. Bagi Aidil Adha 1429H yang lepas, majlis sebegini telah dilaksanakan di Kampung Kuala Sentul.
Dato' Shahaniza dan keluarga turut bersama dalam majlis sejak mula lagi. Malah, beliau sendiri bersama suaminya, En. Anandzachery Mohamad membantu mengagihkan daging korban kepada pihak yang menerimanya.

Ulu Jempul : Solat Sunat Raya Aidil Adha

27 November 2009 : Pada pagi ini Dato' Shahaniza telah bersolat sunat hari raya Aidil Adha di Masjid Jamek Ulu Jempul bersama kira-kira 2 ribu jemaah lain. Untuk makluman, ini adalah tradisi amalan beliau yang mana pada Aidil Adha yang lepas, Masjid Jamek Jengka 1 menjadi lokasi solat sunat hari raya beliau.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza juga turut menyeru umat Islam agar dapat menghayati maksud tersirat disebalik sambutan Aidil Adha. Pengorbanan dalam perjuangan hendaklah diteruskan bagi mencapai matlamat hidup di dunia dan kebahagiaan di Akhirat.
Dato' Shahaniza juga mewakili keluarganya dan urusetia Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1430H. Semoga dengan sambutan kali ini dapat merapatkan ukhwah sesama kita dan hidup lebih aman dan sentosa.

25 November 2009

Maran : Keberangkatan DYMM Sultan Pahang

25 November 2009 : Hari ini penduduk Maran amat bertuah dengan keberangkatan DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke daerah ini.
Tujuan lawatan diraja ini adalah untuk baginda mendengar taklimat dan melihat persediaan menghadapi banjir jika berlaku di daerah Maran.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Pahang adalah Pegawai Daerah Maran, Ahli Parlimen Maran, pemimpin-pemimpin masyarakat dan Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.

Temerloh : Program Ziarah

23 November 2009 : Dalam kesibukan tugasan harian beliau, Dato' Shahaniza hari ini meluangkan masa kira-kira 1 jam melawat En Abdullah Ahmad, Ketua Cawangan UMNO Jengka 5 yang dimasukkan ke wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Difahamkan En Abdullah dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung. Dato' Shahaniza turut menyampaikan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Badan Pehubungan UMNO Pahang bagi meringankan beban yang ditanggung En Abdullah.

Jengka 3 : Majlis Penyampaian Hadiah Sekolah Agama

22 November 2009 : Pada pagi ini Dato' Shahaniza telah hadir bagi merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah SAR KAFA Jengka 3. Majlis yang bertujuan untuk meraikan kecemerlangan murid sekolah ini telah diadakan dengan penuh meriah dan sederhana.

Berucap pada majlis berkenaan, Dato' Shahaniza meminta pihak ibu bapa turut sama membantu guru agama dalam mengisi kerohanian murid-murid. Ini kerana, selain guru agama, ibu bapa juga perlu memberi tunjuk ajar yang berguna dalam usaha mendidik anak-anak mereka.

Dalam pada itu, beliau juga akan memanjangkan permohonan perabot baru bagi sekolah agama ini ke pihak berkaitan agar murid-murid dapat belajar dengan lebih selesa.

Jengka 5 : Program Ummah Perihatin

21 November 2009 : Bertempat di Jengka 5, telah diadakan Program Ummah Perihatin anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pagi ini. Program ini bertujuan melahirkan lebih ramai pengusaha (penyembelih dan pembekal daging halal) Muslim bagi memastikan proses pengeluaran daging sembelihan dilakukan mengikut cara betul berdasarkan tuntutan Islam.
Hadir merasmikan program adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin. Antara pengisian program ini adalah pratikal cara penyembelihan yang betul mengikut syarak. Selain itu, sesi penerangan juga diadakan bagi menerangkan konsep yang betul supaya hasil sembelihan benar-benar halal dan suci.
Berita lanjut di Sinar Harian online - klik sini.

Jengka 3 : Hari Kecemerlangan SK Jengka 3

21 November 2009 : Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris menjadi antara intipati ucapan perasmian Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Akademik SK Jengka 3. Menurut beliau lagi, selain Bahasa Melayu yang menjadi bahasa teras kehidupan murid, terutama di kawasan Felda, mereka juga perlu menguasai Bahasa Inggeris agar lebih banyak manfaat akan diperolehi.
Majlis yang bermula jam 8.00 pagi ini bertujuan memberi penghargaan dan meraikan murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik sepanjang tahun 2009. Majlis juga diselangselikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 ribu bagi menaiktaraf Taman Sumber Ilmu bagi kegunaan murid-murid SK Jengka 3.

Jengka 5 : Majlis Khatam Al-Quran

16 November 2009 : Bertempat di SK Jengka 5, pada malam ini telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi tahun 2009. Program kerjasama SK Jengka 5 dan SAR KAFA Jengka 5 ini telah dirasmikan oleh Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Shahaniza menggesa semua pihak untuk bersama-sama menggembeling tenaga bagi melahirkan insan-insan yang berketrampilan unggul selaras dengan hasrat pendidikan masa kini. Keseimbangan antara akademik dan kerohanian penting bagi mewujudkan potensi modal insan yang cemerlang.
Pada majlis tersebut, 20 orang murid yang telah khatam Al-Quran diraikan.

Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang

16 - 20 November 2009 : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang diteruskan lagi minggu ini. Antara ahli dewan (Adun) yang berkesempatan membuat ucapan perbahasan adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.
Dato' Shahaniza mengusulkan kerajaan negeri mempertingkatkan lagi potensi perlancongan kesihatan (medical tourism) di negeri Pahang. Kerajaan sepatutnya mengambil peluang mendirikan pusat khidmat kesihatan di zon-zon perlancongan agar kemasukan pelancong bagi tujuan 2 dalam 1 (melancong dan mendapat khidmat kesihatan) akan dapat dipertingkatkan.

Selain itu, beliau juga membawa beberapa isu tempatan yang masih belum selesai di DUN Kuala Sentul, antaranya ;
- Perumahan generasi kedua (cadangan di Jengka 2)
- Projek rumah murah di Sg Jerik
- Perubahan kaedah bayaran hasil peneroka Felda
- Lantikan tetap Imam masjid bersiswazah
- Peningkatan gred jawatan Kadhi
- Pemantauan berkala ke pusat penyembelihan ayam
- Memajukan Lubuk Yu sebagai pusat perlancongan

Jengka 2 : Program Ziarah

14 November 2009 : Ketika dalam perjalanan pulang dari Sg Jerik (program Deepavali), Dato' Shahaniza menerima berita kematian seorang pelajar SK Jengka 2 akibat lemas. Oleh itu, Dato' Shahaniza bergegas ke rumah keluarga mangsa di Jengka 2.
Mengikut laporan, Mohd Fadhli Baqi Mohd Sabri (11 tahun), lemas di dalam kolam air panas di Bentong, Pahang. Ketika kejadian, mangsa yang datang ke kawasan rekreasi tersebut bersama seorang lelaki dewasa dan 3 rakannya dikatakan tiba-tiba hilang ketika hendak pulang. Polis yang dihubungi untuk membantu mencari mangsa akhirnya menemui mangsa telah lemas di tangga kolam air panas tersebut.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa kesal atas kejadian sebegini dan meminta semua pihak dapat memastikan keselamatan anak-anak terutama di kawasan rekreasi. Dato' Shahaniza juga turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian-Nya ini.
Berita lanjut di Sinar Harian - klik sini

Sg Jerik : Riang Ria Deepavali

14 November 2009 : Sempena dengan perayaan Deepavali 2009, satu majlis telah diadakan di Dewan Aman Sg Jerik. Hadir dalam program ini adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Dato' Fadilla Salleh.
Antara lain program bertujuan mengeratkan ikatan antara penduduk India di Sg Jerik, selain merapatkan hubungan bersama kaum-kaum lain di pekan tersebut. Pembudayaan seperti ini adalah selari dengan hasrat dalam gagasan 1Malaysia.

Maran : Perasmian Perpustakaan Desa

14 November 2009 : Pada sebelah tengahari ini, Dato' Shahaniza selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) telah menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Kampung New Zealand, Maran. Majlis disempurnakan oleh Ahli Parlimen Maran, Dato' Ismail Muttalib.
Melalui pembinaan rangkaian perpustakaan awam khususnya perpustakaan desa di seluruh negara membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi peluang secara adil kepada rakyat bandar dan luar bandar dalam aspek keilmuan dan kemudahan teknologi maklumat.

Berita lanjut di Utusan Malaysia online - klik sini

Ulu Jempul : Bengkel Keibubapaan

14 November 2009 : Dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan, satu bengkel keibubapaan telah diadakan di Tabika Ulu Jempul pagi ini. Hadir merasmikan program anjuran KEMAS Daerah Maran ini adalah Dato' Shahaniza, Adun Kuala Sentul.
Dato' Shahaniza dalam ucapannya mengimbas kembali peranan ibu dan bapa dalam menentukan kebahagiaan keluarga. Keluarga yang bahagia akan mewujudkan masyarakat yang lebih aman dan bertolenrasi. Hasilnya, semua pihak akan dapat hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan selamat.

Jengka 1 : Majlis Khatam Al-Quran & Penyampaian Hadiah 2009

10 November 2009 : Bertempat di SAR KAFA Jengka 1, telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Hadiah bagi tahun 2009. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato' Shahaniza, Adun Kuala Sentul.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga melihat anak-anak kecil yang fasih mengaji Al-Quran dan seterusnya dapat khatam dalam usia yang muda. Beliau juga berharap usaha sebegini akan diteruskan di masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi yang celik Al-Quran.
Dato' Shahaniza juga turut mengumumkan bantuan perabot untuk Sekolah Agama ini berupa kerusi dan meja yang baru akan diselesaikan dalam masa terdekat. Selain itu, beliau juga memaklumkan permohonan untuk membina dataran kejat di kawasan hadapan bangunan sekolah ini telah dipanjangkan ke pihak berkaitan dan dalam proses penelitian lanjut.

Jengka 2 : Program Motivasi Calon SPM & STPM

10 November 2009 : Pada pagi ini, Dato' Shahaniza telah bertemu dengan calon-calon SPM dan STPM SMK Jengka 2. Pertemuan ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada calon-calon ini bagi menghadapi peperiksaan tersebut pada minggu hadapan.

Dalam ucapannya, Dato' Shahaniza memberi beberapa nasihat dan tips kepada calon-calon peperiksaan ini. Selepas majlis, Dato' Shahaniza turut beramah mesra dengan calon-calon peperiksaan bagi meredakan ketegangan yang sedang di hadapi mereka.

Buat calon-calon SPM dan STPM 2009, diucapkan selamat berjaya !

11 November 2009

Jengka 3 : Sumbangan Keprihatinan

09 November 2009 - Atas dasar keperihatinan terhadap masalah kesihatan seorang penduduk di Jengka 3, Dato' Shahaniza telah menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada pesakit berkenaan, En. Wan Paridulatras bin Wan Ahmad.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (surat bertarikh 6 Oktober 2009), En. Wan Paridulatras, 40 tahun, telah menghadapi masalah kanser yang serius (stage 4).
Kanser tersebut telah melibatkan bahagian hidung kiri, mata kiri, sebahagian otak dan kini semakin merebak ke mata kanan. Oleh itu, satu pembedahan besar perlu dilakukan bagi membuang kawasan terjejas akibat kanser selain membuat pembetulan wajah (facial reconstruction). Khidmat pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian digunakan bagi proses pembedahan plastik ini.
Oleh yang demikian, jika pengunjung blog ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan, sila berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul di talian 09 4764302. Sumbangan anda amatlah bermakna untuk ketua keluarga kepada 6 orang anak ini.

09 November 2009

Kg Bangas : Orang Asli Tetap Dalam Perhatian

Pembangunan Infrastruktur di perkampungan Orang Asli sentiasa dalam perhatian kerajaan. Melalui Program Perumahan Kesejahteraan Rakyat Miskin, 6 buah rumah sejahtera telah didirikan di Kampung Bangas dan 6 buah lagi di Kampung Sungai Jempul.

Menurut YB Dato' Shahaniza, pemberian rumah sejahtera adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup Orang Asli. Kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam arus pembangunan negara.

Disamping itu, dalam mendalami permasalahan dan isu-isu di perkampungan Orang Asli, Dato' Shahaniza sering turun padang bertemu masyarakat Orang Asli. Dalam pertemuan sebegini, Dato' Shahaniza akan mempelawa JHEOA dan pentadbir lain untuk turut bersama bagi memastikan penyelesaian yang segera dan tepat.

Mesyuarat Jawatankuasa Nadi

09 November 2009 (Isnin) - Satu Mesyuarat Jawatankuasa Nadi DUN Kuala Sentul kali pertama telah diadakan. Antara lain agenda mesyuarat kali ini adalah untuk membincangkan pelaksanaan aktiviti peringkat DUN Kuala Sentul.
Bagi aktiviti selepas ini, pada 22 November 2009 (Ahad) akan diadakan "Karnival Keluarga 1Malaysia Bersama Nestle 2009". Program ini akan bermula jam 9 pagi dengan pengisian acara pertandingan mengacau dodol dan memasak nasi goreng. Bagi kanak-kanak, akan diadakan aktiviti pertandingan mewarna dan mengutip gula-gula.

Sumbangan Pihak Korporat

09 November 2009 (Isnin) - Tertarik dengan artikel dalam Harian Metro pada Sabtu lepas, sebuah syarikat berasaskan makanan tambahan jenama Mineto, menyerahkan sumbangan berupa pakej rawatan kulit kepada seorang pesakit kulit bersisik, En. Mohd Shukur Abdul Rahman dari Jengka 3.
Sumbangan disampaikan oleh YB Dato' Shahaniza kepada En. Mohd Shukur sambil disaksikan oleh penyumbang, En. Azam Bakar dari Kuantan. Pada peringkat awal, pakej rawatan ini merangkumi bekalan makanan tambahan selama sebulan bagi merawat penyakit kulit bersisik En. Mohd Shukur yang dihadapi sejak lahir.

Kg Baru Jara : Lawatan Ke Kebun Jagung

08 November 2009 (Ahad) - Atas undangan seorang pekebun kecil yang mengusahakan tanaman jagung, YB Dato' Shahaniza telah sudi berkunjung ke kebun tersebut pada petang ini. Kehadiran Dato' Shahaniza sekeluarga disambut mesra oleh pemilik kebun, En Sabri Abd Majid. Tanaman jagung madu dengan baka dari Taiwan itu telah diusahakan oleh beliau sejak beberapa bulan yang lepas.
Ketika di kebun jagung tersebut, Dato' Shahaniza telah meluangkan masa kira-kira 2 jam bagi mendengar penerangan dari pekebun tersebut dan berkongsi maklumat berkaitan pertanian jagung. Dato' Shahaniza juga turut memberi beberapa info yang berguna untuk pekebun tersebut, termasuk peluang kursus pertanian sama ada dalam atau luar negara.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa bangga dan kagum dengan usaha pekebun kecil seperti ini yang menyokong program Bumi Hijau bagi menambah keperluan makanan negara. Beliau juga berharap aktiviti sebegini akan menjadi contoh dan motivasi kepada belia-belia lain untuk turut sama merebut peluang seperti ini kerana pada masa kini, pertanian adalah perniagaan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Bumi Hijau - klik sini.

06 November 2009

Jengka 1 : Program Ziarah

06 November 2009 (Jumaat) - Dalam kepadatan jadual harian, YB Dato' Shahaniza sempat meluangkan masa kira-kira 1 jam menziarahi sebuah keluarga di Jengka 1 yang baru sahaja kehilangan ibu tersayang pada awal pagi tadi. Dato' Shahaniza tiba di rumah keluarga terbabit jam 8 malam bagi menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada keluarga tersebut.
Difahamkan penerokawati tersebut kembali ke rahmatullah akibat kanser pangkal rahim.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza menasihatkan kaum wanita untuk menjalani ujian 'pap smear', apatah lagi jika mengalami simptom-simptom sebelum merebak ke organ lain. Beliau juga berharap kaum wanita dan lelaki dapat menjaga dan memeriksa kesihatan diri disamping kesibukan tugas seharian.
Maklumat lanjut berkaitan kanser pangkal rahim : klik sini

Kg Kuala Sentul : Program Bacaan Ya'sin

06 November 2009 (Jumaat) - Seperti tradisinya, program bacaan Ya'sin DUN Kuala Sentul hari ini diadakan pula di Kampung Kuala Sentul. Hadir dalam program ini adalah YB Dato' Shahaniza selaku ADUN Kuala Sentul dan teraju utama program ini. Rumah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kuala Sentul menjadi lokasi program yang bermula sejak jam 3 petang ini.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza berharap melalui program sebegini akan dapat mengeratkan silaturahim antara beliau dengan penduduk Kampung Kuala Sentul, terutama golongan wanita. Selain itu, kesempatan yang ada digunakan oleh beliau bagi mendengar luahan masalah dan pandangan dari golongan wanita yang turut sama dalam program ini.
Program bacaan Ya'sin adalah program mingguan (setiap Jumaat) DUN Kuala Sentul dengan giliran mengikut kampung atau rancangan Felda di bawah DUN ini.

Jengka 3 : Penilaian Anugerah Belia Felda Malaysia

06 November 2009 (Jumaat) - Hari ini merupakan detik yang penting bagi Persatuan Belia Jengka 3 kerana menjalani proses penilaian bagi Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2009. Persatuan ini mewakili Wilayah Jengka bagi anugerah ini.
Turut meraikan panel penilai dan hadir memberi sokongan kepada persatuan ini adalah ADUN Kuala Sentul, YB Dato' Shahaniza Shamsuddin dan pegawai-pegawai seranta Felda Wilayah Jengka.
Dato' Shahaniza menyifatkan pemilihan persatuan ini adalah satu pengiktirafan kepada kerja keras yang mereka jalankan sepanjang tahun 2009. Selain itu, beliau juga mengharapkan peningkatan berterusan dalam organisasi belia di seluruh DUN Kuala Sentul melalui aktiviti yang mendatangkan kesan kepada para belia setempat.

03 November 2009

Kunjungan Hormat Pegawai Seranta Felda

03 November 2009 (Selasa) - Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul hari ini menerima kunjungan hormat Pegawai-pegawai Seranta Felda Wilayah Jengka. Antara lain fokus kunjungan ini adalah perbincangan bersama YB Dato' Shahaniza Shamsuddin dalam memajukan komuniti sosial dan penyampaian maklumat kepada golongan sasaran, di dalam DUN Kuala Sentul.
Pertemuan hampir 2 jam ini menerbitkan beberapa keputusan dan idea bagi dilaksanakan di peringkat DUN Kuala Sentul, apatah lagi 80% penempatan di DUN ini adalah perkampungan Felda.

Bagi maklumat lanjut berkaitan Seranta Felda, sila klik sini.
.

02 November 2009

Jengka 1: Berita Motor Lasak @ Utusan Malaysia

Baru-baru ini telah diadakan Kejohanan Motor Lasak 2009 anjuran Persatuan Belia Harapan Baru Jengka Satu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul.
Program ini telah di rasmikan oleh YB Dato' Shahaniza Shamsuddin, ADUN Kuala Sentul. Selain acara motor lasak di atas Litar Motor Lasak Jengka Satu sepanjang 3.5 km itu, pelbagai acara sampingan turut di adakan bagi memeriahkan program.

Paling menarik perhatian tentunya konvoi motosikal berkuasa tinggi kelab UN Bikers dari Kuala Lumpur. Konvoi ini diketuai oleh Duta Belia Negara, Maznah Zolkifli yang turut menunggang salah sebuah motosikal berkuasa tinggi, bersama Dato' Shahaniza.


Berita lanjut dalam Utusan Malaysia Online > sila klik sini .

Jelajah Ikon Belia Felda : Tahniah Pasukan Bola Jaring!

1 November 2009 (Ahad) - Bertempat di Jengka 17, telah diadakan Program Jelajah Ikon Belia Felda Malaysia 2009. Pelbagai aktiviti dijalankan sempena dengan program ini seperti pertandingan futsal, bola jaring dan kompang. Turut diadakan adalah pameran serta ceramah. Program ini telah dirasmikan oleh YB Wan Salman bin Wan Ismail, ADUN Jengka.
Sekalung tahniah kepada pasukan bola jaring dari DUN Kuala Sentul yang diwakili oleh pasukan bola jaring Jengka 3 kerana telah menjadi johan dalam pertandingan kali ini. Turut hadir semasa perlawanan akhir dan upacara penyampaian hadiah adalah ADUN Kuala Sentul, YB Dato' Shahaniza Shamsuddin.

Selain itu, tahniah juga diucapkan kepada pasukan futsal yang diwakili oleh pasukan futsal Jengka 5 kerana layak ke peringkat separuh akhir.

Program Jelajah Ikon Belia Felda Malaysia 2009 (wilayah Jengka) ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ikon Belia Felda Malaysia, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir. Beliau merupakan wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo.

Jengka 2 : Hari GPW

31 Oktober 2009 (Sabtu) - Selaras usaha meningkatkan kesedaran komuniti, GPW Jengka 2 telah menjalankan program Hari GPW Jengka 2 yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Shahaniza Shamsuddin, ADUN Kuala Sentul.
Berita dari Sinar Harian Pahang, sila klik di sini.
Powered By Blogger