08 Januari 2011

Utusan Malaysia : Program Semarak Ukhuwah Orang Asli capai matlamat


MARAN 7 Jan. - Program Semarak Ukhuwah Orang Asli yang diadakan di dua perkampungan di sini baru-baru ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memahami masalah yang dihadapi kaum minoriti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, dua kampung terbabit adalah Kampung Bangas dan Kampung Sungai Jempol yang didiami kira-kira 500 penduduk Orang Asli.

Menurut beliau, program tersebut sekali gus membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib kaum minoriti itu.

''Kegiatan harian penduduk khususnya generasi muda Orang Asli tidak jauh berbeza dengan masyarakat lain di negara ini khususnya golongan muda yang memerlukan hiburan dan kemudahan sukan.

''Generasi muda Orang Asli kini semakin ramai yang berpendidikan sekolah menengah dan meminati hiburan muzik terkini serta meminati sukan bola sepak.

''Ini terbukti apabila mereka beramai-ramai menonton siaran langsung pertandingan akhir Piala Suzuki melalui skrin besar di kampung tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program itu di Kampung Sungai Jempol di sini hari ini.

Antara aktiviti dijalankan sepanjang program sehari itu ialah ziarah dari rumah ke rumah, bantuan persekolahan, pertandingan nyanyian dan sumbangan pakaian.

Menurut Shahaniza, kehidupan masyarakat Orang Asli di dua perkampungan itu boleh dijadikan contoh kepada kaum orang Asli lain dari segi perpaduan, kekuatan ekonomi, sosial dan pendidikan.

''Program ini berjalan lancar dan menepati sasarannya iaitu merapatkan silaturahim selain memberi mesej bahawa kerajaan tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli,'' katanya.

Terdahulu, Shahaniza menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan nyanyian, Mariah Panjang, 27, dan sumbangan baju jersi kepada pasukan bola sepak Orang Asli dari Kampung Bangas dan Kampung Sungai Jempol.

2 ulasan:

suaralensa berkata...

Salam...
dunkualasentul telah dipaut di blog
http://suaralensa.blogspot.com/

Urusetia Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul berkata...

Terima kasih...