08 Januari 2011

Sinar Harian : Beri khidmat terbaik


BANDAR MARAN - Penjawat awam perlu berani melakukan perubahan ke arah penambahbaikan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mengetahui akan hak mereka selain arif memilih dan sentiasa menilai perkhidmatan diberikan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pendekatan kreatif dan inovatif akan melahirkan penjawat awam yang lebih cekap, responsif serta fleksibel dalam memikul tanggungjawab.

Menurutnya, cabaran utama adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang menjadi kayu ukur keberkesanan dan kerelevanan perkhidmatan awam.

“Ia boleh dilakukan dengan mudah, iaitu dengan cara melayani pelanggan sebagaimana diri kita ingin dilayani selain meletakkan diri kita sebagai seorang pelanggan.

“Rata-rata pelanggan memerlukan nasihat, perkhidmatan, penjelasan atau jawapan kepada masalah yang dihadapi.

“Permohonan atau perkhidmatan selama ini yang mengambil masa lama untuk diproses perlu dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti serta berlandaskan peraturan berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Suratan Hak Milik Sementara Dalam Tempoh Satu Hari di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Maran, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Muhammad Safian Ismail; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Azizan Ahmad dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.

Mohd Sidek berkata, pelaksanaan inovasi itu satu lonjakan besar dalam proses pentadbiran daerah dan ia perlu diperkembangkan ke semua agensi kerajaan.

Menurutnya, ia diharap dilaksanakan secara berterusan dan konsisten dengan fikiran yang positif serta terbuka.

Tiada ulasan:

Powered By Blogger