01 Februari 2011

Kg Jara : Banjir - Penduduk Dipindahkan


Kg Jara - Bimbang paras air sungai semakin meningkat dan mula membanjiri kawasan kediaman sedalam kira-kira dua kaki, 24 keluarga dari Kampung Jara, di sini mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang penduduk, Mohd Ropi Jusoh, 36, berkata, berdasarkan pengalaman lalu, penduduk terbabit akan berhadapan dengan pelbagai masalah jika tidak berpindah ketika air sungai sudah membanjiri rumah mereka.

Menurutnya, hujan tidak menentu sejak lima hari lalu menyebabkan air Sungai Jempol melimpah dan pada jam 6 petang semalam (kelmarin), beberapa rumah penduduk mula dimasuki air.

“Saya lima beranak mengalihkan perabot dan kelengkapan rumah ke tempat selamat dan sentiasa dalam berjaga-jaga kerana khuatir banjir lebih teruk.

“Ini bukan kejadian pertama dan hampir setiap tahun kami mengharungi banjir maka pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk bersedia berpindah,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk, Fauzi Abdul Rashid, 43, berkata, dalam kejadian semalam, air sungai mula membanjiri dan memasuki bahagian dapur rumah beliau pada jam 3 pagi.

Menurutnya, hujan lebat dan tidak menentu menyebabkan beliau enam beranak tidak tidur lena kerana yakin air sungai akan terus melimpah memasuki kawasan rumah.

“Keesokannya, kami dinasihati berpindah kerana air masih belum surut dan bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya banjir lebih teruk.

“Kampung ini adalah penempatan pertama dalam daerah Maran yang berisiko dilanda banjir maka kehidupan di pusat pemindahan banjir bukan asing lagi,” katanya.

Alami kerugian hampir RM50,000 Fauzi yang juga pengusaha tanaman pisang Nangka dan getah terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 apabila kebun seluas enam ekar itu dibanjiri air setinggi empat kaki.

Menurutnya, tanaman pisang itu diusahakan sejak 10 bulan lalu dan mula mengeluarkan jantung untuk kali pertama.

“Akibat ditenggelami air sejak empat hari, pokok pisang rosak dan akan mati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Jara, Hassan Kaalil Abdullah berkata, kesemua 72 mangsa dari 24 keluarga terlibat akan bermalam di balai raya kampung itu yang dijadikan pusat pemindahan.

Menurutnya, tindakan memindahkan penduduk diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan memandangkan hujan tidak menentu.

“Buat sementara, mereka akan berada di pusat pemindahan dan akan pulang ke rumah masing-masing jika air surut,” katanya.

Hassan berkata, laluan di hadapan Kuil Marathandavar terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan apabila dinaiki air setinggi tiga meter.

“Namun laluan alternatif menggunakan kawasan perkarangan kuil dibuka untuk orang ramai,” katanya.

Tiada ulasan:

Powered By Blogger