29 Disember 2009

Bonus : Insentif Produktiviti Peneroka Felda

Dalam satu kenyataan ringkas daripada Felda, sejumlah RM 13.6 juta telah diperuntukkan bagi membayar Insentif Produktiviti peneroka Felda di Wilayah Jengka. Kadar bayaran adalah berbeza-beza berdasarkan hasil produktiviti setiap ladang peneroka Felda.
Bagi kelapa sawit, bayaran RM400 adalah bagi pengeluaran 8 tan metrik bagi setiap hektar, manakala RM 600 bagi 11 tan metrik perhektar, RM 800 bagi 13 tan metrik perhektar, RM 1,000 bagi 15 tan metrik perhektar dan bayaran sebanyak RM 1,200 bagi 17 tan metrik bagi setiap hektar dalam tahun 2009.
Bagi tanaman getah, bayaran RM400 adalah bagi pengeluaran 700kg bagi setiap hektar, manakala RM 600 bagi 1 tan metrik perhektar, RM 800 bagi 1.2 tan metrik per hektar, RM 1,000 bagi 1.4 tan metrik perhektar dan bayaran sebanyak RM 1,200 bagi 1.4 tan metrik bagi setiap hektar dalam tahun 2009.

Kg Baru Jara : Program Mengacau Bubur Asyura

27 Disember 2009 : Bersempena kedatangan Muharam 1430, penduduk Kampung Baru Jara telah mengadakan program mengacau bubur Asyura. Antara lain, program ini bertujuan merapatkan ukhwah sesama penduduk kampung dalam semangat gotong -royong.
Turut bersama dalam program ini adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin dan pemimpin-pemimpin setempat.

23 Disember 2009

Jengka 1 : Ziarah Mangsa Kebakaran

23 Disember 2009 : Pada hari Isnin yang lepas, sebuah premis kedai yang menjual pakaian, barang permainan dan jeruk buahan telah terbakar di Jengka 1. Kebakaran dikatakan berpunca akibat litar pintas dan kerugian ditaksirkan sebanyak RM 10,000.
Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin hari ini meluangkan masa hampir 1 jam meninjau kedai yang terbakar tersebut. Turut mengiringi beliau adalah Ketua Kampung Jengka 1, En Mohd Akhir Awang.
Dato' Shahaniza turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada peniaga tersebut, En Mohd Zaidi Mat Jusoh. Dato' Shahaniza juga telah meminta Urusetia Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul bagi menyediakan laporan kebakaran ini untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Beliau juga berharap mangsa kebakaran ini tabah menghadapi dugaan ini dan akan bangkit semula dalam perniagaannya.

Kg Baru Jara : Penyampaian Sumbangan

23 Disember 2009 : Kebakaran rumah beberapa bulan lepas mengakibatkan Pn Yang Timah Ismail telah kehilangan rumah yang didiami. Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul telah membawa permohonan bantuan bagi meringankan beban kepada keluarga ini dari pihak Kerajaan Negeri Pahang.
Hari ini bertempat di rumah saudaranya, Pn Yang Timah Ismail menerima bantuan tersebut yang disampaikan oleh Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh beliau.

20 Disember 2009

Jengka 3 : Tahniah, Persatuan Belia Seri Dahlia

20 Disember 2009 - Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, telah di adakan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2009. Majlis kemuncak dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Turut hadir adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin.
Pada majlis kemuncak tersebut, Persatuan Belia Felda Sri Dahlia Jengka 3 telah dinobatkan pemenang bagi Kategori Kemasyarakatan dan Kesukarelaan dengan membawa pulang RM 3 ribu. Anugerah utama telah dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Bukit Bading, Terengganu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Dato' Shahaniza berasa begitu bangga dengan kejayaan ini dan berharap ia akan menjadi pemangkin kepada pengurusan dan pentadbiran belia yang lebih aktif, dinamik dan berkesan di Dun Kuala Sentul.

15 Disember 2009

Jengka 2 : Program Jalinan Rakyat

15 Disember 2009 : Bertempat di Dewan JKKK Jengka 2, telah diadakan program Jalinan Rakyat. Program bertujuan memberi penerangan kepada masyarakat, terutamanya wakil-wakil wanita Dun Kuala Sentul, berkaitan isu semasa. Program dirasmikan oleh Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin.
Ketika berucap, Dato' Shahaniza memberikan penerangan kepada wakil-wakil wanita Dun Kuala Sentul yang hadir tentang isu semasa merangkumi isu politik, isu sosial dan agama. Beliau juga berharap wakil wanita yang hadir akan menyampaikan maklumat berkenaan kepada masyarakat persekitaran mereka nanti supaya semua pihak mendapat maklumat yang lebih tepat dan benar.


Dalam pada itu, Dato' Shahaniza turut menggesa golongan wanita untuk turut sama terlibat dalam dunia ICT selari dengan kemajuan teknologi ICT masakini. Ini supaya kaum wanita tidak akan terus ketinggalan dalam memperolehi maklumat.

14 Disember 2009

Selamat Kembali ke Tanahair

14 Disember 2009 - Dato' Shahaniza telah selamat kembali ke tanahair selepas berada lebih seminggu di Amerika Syarikat. Beliau tiba bersama Delegasi Kerajaan Negeri Pahang dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Dalam satu kenyataan ringkasnya, beliau melahirkan kesyukuran apabila selamat tiba di tanahair dengan membawa bersama beberapa hasil positif melalui misi perdagangan kali ini. Beliau amat berharap pelabur-pelabur asing, terutamanya syarikat besar yang berpangkalan di Amerika Syarikat, akan berminat untuk melabur dalam perlbagai bidang perindustrian di Pahang, khususnya di Dun Kuala Sentul.
Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang di terajui Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob, yang memilih beliau antara Adun yang turut menyertai misi kali ini. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan misi ini dan keselamatan beliau ketika diluar negara terutamanya rakan-rakan beliau di dalam Facebook.

13 Disember 2009

Perjalanan Pulang ke Tanahair

13 Disember 2009 : Dato' Shahaniza bersama Delegasi Kerajaan Negeri Pahang dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), di jangka akan kembali ke tanahair pada hari Isnin, 14 Disember 2009.
Beliau dijangka akan tiba di KLIA jam 12.55 tengahari melalui penerbangan MAS : MH0075 dari Los Angeles - Hong Kong sebelum ke Kuala Lumpur.

10 Disember 2009

Amerika Syarikat : Lensa Misi Perdagangan

Delegasi Kerajaan Negeri Pahang dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Transit di Narita Airport, Japan

Di Pintu Masuk Disneyland, California


Bersama Duta Malaysia ke Amerika Syarikat

Bersama sebahagian pelajar Malaysia di Amerika Syarikat

Bersama sebahagian pelajar Malaysia di Amerika Syarikat

Bersama sebahagian pelajar Malaysia di Amerika Syarikat

Di Wilshire Grand Hotel Los Angeles, California


Perbincangan bersama sebahagian delegasi dan tetamu


Sesi taklimat bersama Duta Malaysia ke Amerika Syarikat


Sesi dialog bersama usahawan dan pelabur serta delegasi


Sebahagian peserta Seminar Peluang Pelaburan di Malaysia

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat sedang berucap


Lagi gambar akan menyusul...

06 Disember 2009

Amerika Syarikat : Delegasi Misi Perdagangan



Makluman ;

Bermula 6 Disember hingga 14 Disember 2009, Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin, tidak berada di dalam negara.

Ini kerana beliau menyertai Delegasi Kerajaan Negeri Pahang dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Beliau berlepas dari KLIA jam 11.35 malam 6 Disember 2009, menuju ke Los Angeles. Selepas beberapa hari di Los Angeles, beliau bersama delegasi akan berada di San Francisco sebelum kembali ke tanahair pada 14 Disember 2009.


Terdahulu, sebelum bergerak ke KLIA, Dato' Shahaniza sempat bertemu ayahanda dan bondanya di Chenor. Pertemuan ini adalah bagi beliau memohon restu sebelum beliau menjalankan tugas rasminya di luar negara.
Bersamalah kita berdoa moga misi delegasi ini akan membuahkan hasil yang baik untuk negeri Pahang umumnya dan untuk DUN Kuala Sentul khasnya.

04 Disember 2009

Tengkujuh : Situasi Paras Air di DUN Kuala Sentul


HOTLINE SKUAD PRIHATIN DUN KUALA SENTUL
019 983 6766 ( Sdr Mukaram Shah)

6 Disember 2009 : Hari ini cuaca semakin baik. Tinjauan pagi tadi menunjukkan paras air di sungai-sungai utama di Dun ini dalam keadaan normal.

5 Disember 2009 : Cuaca hari ini masih lagi hujan di awal pagi, namun tidak selebat semalam. Cuaca yang baik di waktu tengah hari dan petang membuatkan paras air sungai-sungai di Dun Kuala Sentul hampir kembali ke paras normal.
Setakat maklumat ini ditulis, tiada lagi penduduk Dun ini yang dipindahkan akibat terjejas banjir.

4 Disember 2009 (3.00 ptg) : Cuaca yang mendung dan tidak hujan sejak tengah hari memberi nafas lega kepada penduduk. Paras air sungai semakin surut dan diharap akan kembali ke paras normal.
Dato' Shahaniza petang ini membuat tinjauan di sekitar Dun Kuala Sentul. Dalam tinjauan ke kawasan berisiko banjir, beliau melahirkan kebimbangan jika hujan semula dengan lebat akan mengakibatkan ada kawasan perumahan yang akan dinaiki air.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai yang terlibat dengan banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah. Beliau juga telah mengarahkan SKUAD PRIHATIN Dun Kuala Sentul agar bersiap sedia memberi bantuan kepada mangsa banjir. Skuad Perihatin boleh dihubungi melalui Saudara Mukaram Shah - 019 983 6766

4 Disember 2009 (9.00pg) : Hujan sejak jam 3.00 pagi tadi membuatkan penduduk dalam keadaan kebimbangan jika terjadi banjir seperti yang berlaku pada Disember 2007. Tinjauan krew blog ke beberapa kawasan sekitar Dun Kuala Sentul mendapati paras air sungai mula naik namun masih di bawah paras waspada. Dibawah ini adalah paras air Sungai Jempol pada jam 8.00 pagi tadi di dua lokasi iaitu ;
Jambatan berhampiran Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka
Jambatan berhampiran Loji Air Jengka 3-7 (di Jengka 4)

Tinjauan melalui laluan jalanraya melalui Jengka 1, Sg Jerik, Ulu Jempul, Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 mendapati semua laluan masih boleh dilalui dengan selamat oleh kenderaan kecil. Namun begitu, pemandu dinasihatkan berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang dilintasi air dan wujud air bertakung di atas jalanraya. Antara lokasi air bertakung adalah di berhampiran Stesen Minyak BHP Sg Jerik, berhampiran simpang masuk Ulu Jempul dan di Jengka 3.
Beberapa kawasan yang biasa terjadi banjir juga masih dalam keadaan baik. Kayu pacang merah-putih yang dipasang sebagai tanda kawasan banjir juga perlu menjadi panduan kepada pemandu agar lebih berhati-hati di kawasan ini. Berikut adalah dua lokasi yang biasa terjadi banjir dan gambar ini di ambil jam 8.00 pagi tadi ;
Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka (km 27 Jalan Maran - Sg Jerik)
Km 31 Jalan Maran - Bandar Jengka ( di Jengka 5 )

Selain itu, pemandu yang biasa menggunakan laluan pintas Jengka 5 - Kg Kuala Sentul dinasihatkan tidak menggunakan laluan ini di musim hujan kerana keadaan tidak sesuai untuk kenderaan kecil (tetapi masih boleh dilalui). Ini berikutan kerja-kerja menaiktaraf laluan ini sedang dijalankan dan terdapat kawasan yang melibatkan penstrukturan semula tanah.

03 Disember 2009

Jengka 1 : Undangan Majlis Perkahwinan

29 Oktober 2009 : Kehadiran Dato' Shahaniza amat ditunggu-tunggu oleh tuan rumah. Walaupun hadir sebagai tetamu terakhir, Dato' Shahaniza dilayan mesra dan sempat bergambar dengan pasangan pengantin baru.

Lubuk Yu : Lawatan Tinjauan

29 Oktober 2009 : Kawasan rekreasi Lubuk Yu sememangnya terkenal dikalangan penduduk tempatan sebagai kawasan perkelahan yang menarik, cantik dan mempunyai sungai yang jernih. Kawasan ini amat sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah lagi destinasi perlancongan di Pahang.
Dengan keindahan hutan semulajadi dan air sungai yang mengalir deras melalui jeram, kawasan ini menjadi tumpuan terutamannya di hujung minggu dan cuti umum.
Kehadiran pengunjung juga dapat menjana ekonomi setempat. Namun begitu, jika diperhatikan, banyak lagi kemudahan perlu dibina di kawasan ini seperti tempat meletak kenderaan, zon perniagaan, tandas, surau tertutup dan kawalan keselamatan.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza bersama Penghulu Mukim Chenor (Kuala Sentul) dan beberapa pemimpin tempatan Sg Jerik mengadakan lawatan tinjuan ke kawasan ini. Hari Ahad yang kebetulan juga cuti musim perayaan sengaja dipilih bagi meninjau keadaan di sini apabila pengunjung yang datang adalah di tahap maksimum. Pelbagai rumusan telah dibuat melalui tinjauan ini dan akan diserahkan kepada Kementerian Perlancongan Malaysia bagi memohon menaiktaraf kawasan rekreasi ini.
Terkini ;
Pejabat Dun Kuala Sentul melalui Pejabat Daerah Maran telah menghantar permohonan berjumlah RM 3 juta bagi menaiktaraf kawasan Lubuk Yu sebagai destinasi perlancongan bertaraf nasional.
Berita lanjut di Sinar Harian Online : klik sini

Ulu Jempul : Undangan Majlis Perkahwinan

29 November 2009 : Hari ini Dato' Shahaniza memenuhi undangan majlis perkahwinan anak En Ideris Shah Musa dan Pn Juriah Jusoh di Ulu Jempul.
Majlis perkahwinan yang diadakan ini meriah dan turut dihadiri oleh rakan-rakan tuan rumah dari pelbagai bangsa.
Dato' Shahaniza turut meraikan pengantin baru, Pn Nor Nadira Ideris Shah dengan pasangannya dari Pasir Mas, Kelantan, En Mohd Asmawi Che Omar.

02 Disember 2009

Kg Kuala Sentul : Majlis Jalinan Kasih Aidil Adha 2009

29 November 2009 : Cuti umum sempena Aidil Adha diambil kesempatan oleh penduduk Kampung Kuala Sentul bagi mengadakan Majlis Jalinan Kasih 2009. Majlis ini bertujuan merapatkan hubungan sesama penduduk dan generasi pelapis terutamanya yang telah berhijrah ke bandar. Dato' Shahaniza hadir merasmikan program ini.
Menurut Ketua Kampung Kuala Sentul, En Mohd Asri Mat Piah, majlis ini adalah sebagai acara suai kenal bagi merapatkan silaturahim sesama penduduk terutamanya dikalangan anak rantau. Melalui pertemuan ini, beliau juga berharap ikatan yang telah terjalin akan bertambah kukuh di kalangan penduduk kampung ini.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa bangga dengan usaha pemimpin kampung ini dengan majlis seumpama ini. Tambahnya lagi, dalam hidup bermasyarakat dikampung, sikap bantu-membantu dan tolenrasi amat penting demi kesejateraan semua.
Majlis ini diadakan dalam suasana perayaan Aidil Adha. Majlis yang diadakan secara sederahan tetapi meriah ini juga mendapat liputan dari unit berita TV RTM.

28 November 2009

Jengka 3 : Undangan Majlis Cukur Jambul & Berendoi

28 November 2009 : Atas undangan En Ghani Maulud, seorang peneroka Felda Jengka 3, hari ini Dato' Shahaniza meluangkan masa dalam Majlis Cukur Jambul dan Berendoi bagi 2 orang cucu peneroka tersebut.
Majlis tersebut diadakan penuh kesederhanaan tetapi meriah dengan diiringi selawat dan berzanji sebagai tanda kesyukuran dan mendoakan kesihatan bayi tersebut.
Menurut Dato' Shahaniza, amalan warisan melayu terdahulu dilihat masih mendapat sambutan dikalangan penduduk yang merasakan ia perlu diteruskan agar tidak dilupai oleh generasi akan datang. Tambahnya lagi, majlis seperti ini perlu diteruskan keranan upacaranya memang menarik dan memperlihatkan budaya dan tradisi masyarakat Melayu berbeza dengan kaum lain.
En Ghani Maulud pula berkata, amalan ini bukannya satu kewajipan namun ia diadakan sekadar meraikan kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu dalam mana-mana keluarga sebagai tanda kesyukuran.

27 November 2009

Jengka 5 : Majlis Korban Aidil Adha

27 November 2009 : Selaras dengan tuntutan agama, hari ini Dato' Shahaniza dan keluarga menyumbangkan seekor lembu bagi tujuan ibadah korban. Majlis ibadah korban ini telah dijalankan di Jengka 5 dengan bantuan penduduk di situ.
Untuk makluman, program seperti ini adalan amalan setiap kali Aidil Adha oleh Dato' Shahaniza. Bagi Aidil Adha 1429H yang lepas, majlis sebegini telah dilaksanakan di Kampung Kuala Sentul.
Dato' Shahaniza dan keluarga turut bersama dalam majlis sejak mula lagi. Malah, beliau sendiri bersama suaminya, En. Anandzachery Mohamad membantu mengagihkan daging korban kepada pihak yang menerimanya.

Ulu Jempul : Solat Sunat Raya Aidil Adha

27 November 2009 : Pada pagi ini Dato' Shahaniza telah bersolat sunat hari raya Aidil Adha di Masjid Jamek Ulu Jempul bersama kira-kira 2 ribu jemaah lain. Untuk makluman, ini adalah tradisi amalan beliau yang mana pada Aidil Adha yang lepas, Masjid Jamek Jengka 1 menjadi lokasi solat sunat hari raya beliau.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza juga turut menyeru umat Islam agar dapat menghayati maksud tersirat disebalik sambutan Aidil Adha. Pengorbanan dalam perjuangan hendaklah diteruskan bagi mencapai matlamat hidup di dunia dan kebahagiaan di Akhirat.
Dato' Shahaniza juga mewakili keluarganya dan urusetia Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1430H. Semoga dengan sambutan kali ini dapat merapatkan ukhwah sesama kita dan hidup lebih aman dan sentosa.

25 November 2009

Maran : Keberangkatan DYMM Sultan Pahang

25 November 2009 : Hari ini penduduk Maran amat bertuah dengan keberangkatan DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke daerah ini.
Tujuan lawatan diraja ini adalah untuk baginda mendengar taklimat dan melihat persediaan menghadapi banjir jika berlaku di daerah Maran.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Pahang adalah Pegawai Daerah Maran, Ahli Parlimen Maran, pemimpin-pemimpin masyarakat dan Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.

Temerloh : Program Ziarah

23 November 2009 : Dalam kesibukan tugasan harian beliau, Dato' Shahaniza hari ini meluangkan masa kira-kira 1 jam melawat En Abdullah Ahmad, Ketua Cawangan UMNO Jengka 5 yang dimasukkan ke wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Difahamkan En Abdullah dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung. Dato' Shahaniza turut menyampaikan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Badan Pehubungan UMNO Pahang bagi meringankan beban yang ditanggung En Abdullah.

Jengka 3 : Majlis Penyampaian Hadiah Sekolah Agama

22 November 2009 : Pada pagi ini Dato' Shahaniza telah hadir bagi merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah SAR KAFA Jengka 3. Majlis yang bertujuan untuk meraikan kecemerlangan murid sekolah ini telah diadakan dengan penuh meriah dan sederhana.

Berucap pada majlis berkenaan, Dato' Shahaniza meminta pihak ibu bapa turut sama membantu guru agama dalam mengisi kerohanian murid-murid. Ini kerana, selain guru agama, ibu bapa juga perlu memberi tunjuk ajar yang berguna dalam usaha mendidik anak-anak mereka.

Dalam pada itu, beliau juga akan memanjangkan permohonan perabot baru bagi sekolah agama ini ke pihak berkaitan agar murid-murid dapat belajar dengan lebih selesa.

Jengka 5 : Program Ummah Perihatin

21 November 2009 : Bertempat di Jengka 5, telah diadakan Program Ummah Perihatin anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pagi ini. Program ini bertujuan melahirkan lebih ramai pengusaha (penyembelih dan pembekal daging halal) Muslim bagi memastikan proses pengeluaran daging sembelihan dilakukan mengikut cara betul berdasarkan tuntutan Islam.
Hadir merasmikan program adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin. Antara pengisian program ini adalah pratikal cara penyembelihan yang betul mengikut syarak. Selain itu, sesi penerangan juga diadakan bagi menerangkan konsep yang betul supaya hasil sembelihan benar-benar halal dan suci.
Berita lanjut di Sinar Harian online - klik sini.

Jengka 3 : Hari Kecemerlangan SK Jengka 3

21 November 2009 : Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris menjadi antara intipati ucapan perasmian Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin ketika merasmikan Hari Kecemerlangan Akademik SK Jengka 3. Menurut beliau lagi, selain Bahasa Melayu yang menjadi bahasa teras kehidupan murid, terutama di kawasan Felda, mereka juga perlu menguasai Bahasa Inggeris agar lebih banyak manfaat akan diperolehi.
Majlis yang bermula jam 8.00 pagi ini bertujuan memberi penghargaan dan meraikan murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik sepanjang tahun 2009. Majlis juga diselangselikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 ribu bagi menaiktaraf Taman Sumber Ilmu bagi kegunaan murid-murid SK Jengka 3.

Jengka 5 : Majlis Khatam Al-Quran

16 November 2009 : Bertempat di SK Jengka 5, pada malam ini telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi tahun 2009. Program kerjasama SK Jengka 5 dan SAR KAFA Jengka 5 ini telah dirasmikan oleh Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Shahaniza menggesa semua pihak untuk bersama-sama menggembeling tenaga bagi melahirkan insan-insan yang berketrampilan unggul selaras dengan hasrat pendidikan masa kini. Keseimbangan antara akademik dan kerohanian penting bagi mewujudkan potensi modal insan yang cemerlang.
Pada majlis tersebut, 20 orang murid yang telah khatam Al-Quran diraikan.

Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang

16 - 20 November 2009 : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang diteruskan lagi minggu ini. Antara ahli dewan (Adun) yang berkesempatan membuat ucapan perbahasan adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin.
Dato' Shahaniza mengusulkan kerajaan negeri mempertingkatkan lagi potensi perlancongan kesihatan (medical tourism) di negeri Pahang. Kerajaan sepatutnya mengambil peluang mendirikan pusat khidmat kesihatan di zon-zon perlancongan agar kemasukan pelancong bagi tujuan 2 dalam 1 (melancong dan mendapat khidmat kesihatan) akan dapat dipertingkatkan.

Selain itu, beliau juga membawa beberapa isu tempatan yang masih belum selesai di DUN Kuala Sentul, antaranya ;
- Perumahan generasi kedua (cadangan di Jengka 2)
- Projek rumah murah di Sg Jerik
- Perubahan kaedah bayaran hasil peneroka Felda
- Lantikan tetap Imam masjid bersiswazah
- Peningkatan gred jawatan Kadhi
- Pemantauan berkala ke pusat penyembelihan ayam
- Memajukan Lubuk Yu sebagai pusat perlancongan

Jengka 2 : Program Ziarah

14 November 2009 : Ketika dalam perjalanan pulang dari Sg Jerik (program Deepavali), Dato' Shahaniza menerima berita kematian seorang pelajar SK Jengka 2 akibat lemas. Oleh itu, Dato' Shahaniza bergegas ke rumah keluarga mangsa di Jengka 2.
Mengikut laporan, Mohd Fadhli Baqi Mohd Sabri (11 tahun), lemas di dalam kolam air panas di Bentong, Pahang. Ketika kejadian, mangsa yang datang ke kawasan rekreasi tersebut bersama seorang lelaki dewasa dan 3 rakannya dikatakan tiba-tiba hilang ketika hendak pulang. Polis yang dihubungi untuk membantu mencari mangsa akhirnya menemui mangsa telah lemas di tangga kolam air panas tersebut.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa kesal atas kejadian sebegini dan meminta semua pihak dapat memastikan keselamatan anak-anak terutama di kawasan rekreasi. Dato' Shahaniza juga turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian-Nya ini.
Berita lanjut di Sinar Harian - klik sini

Sg Jerik : Riang Ria Deepavali

14 November 2009 : Sempena dengan perayaan Deepavali 2009, satu majlis telah diadakan di Dewan Aman Sg Jerik. Hadir dalam program ini adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Dato' Fadilla Salleh.
Antara lain program bertujuan mengeratkan ikatan antara penduduk India di Sg Jerik, selain merapatkan hubungan bersama kaum-kaum lain di pekan tersebut. Pembudayaan seperti ini adalah selari dengan hasrat dalam gagasan 1Malaysia.

Maran : Perasmian Perpustakaan Desa

14 November 2009 : Pada sebelah tengahari ini, Dato' Shahaniza selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) telah menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Desa Kampung New Zealand, Maran. Majlis disempurnakan oleh Ahli Parlimen Maran, Dato' Ismail Muttalib.
Melalui pembinaan rangkaian perpustakaan awam khususnya perpustakaan desa di seluruh negara membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi peluang secara adil kepada rakyat bandar dan luar bandar dalam aspek keilmuan dan kemudahan teknologi maklumat.

Berita lanjut di Utusan Malaysia online - klik sini

Ulu Jempul : Bengkel Keibubapaan

14 November 2009 : Dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan, satu bengkel keibubapaan telah diadakan di Tabika Ulu Jempul pagi ini. Hadir merasmikan program anjuran KEMAS Daerah Maran ini adalah Dato' Shahaniza, Adun Kuala Sentul.
Dato' Shahaniza dalam ucapannya mengimbas kembali peranan ibu dan bapa dalam menentukan kebahagiaan keluarga. Keluarga yang bahagia akan mewujudkan masyarakat yang lebih aman dan bertolenrasi. Hasilnya, semua pihak akan dapat hidup dalam sebuah negara yang aman, makmur dan selamat.

Jengka 1 : Majlis Khatam Al-Quran & Penyampaian Hadiah 2009

10 November 2009 : Bertempat di SAR KAFA Jengka 1, telah diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Hadiah bagi tahun 2009. Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato' Shahaniza, Adun Kuala Sentul.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga melihat anak-anak kecil yang fasih mengaji Al-Quran dan seterusnya dapat khatam dalam usia yang muda. Beliau juga berharap usaha sebegini akan diteruskan di masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi yang celik Al-Quran.
Dato' Shahaniza juga turut mengumumkan bantuan perabot untuk Sekolah Agama ini berupa kerusi dan meja yang baru akan diselesaikan dalam masa terdekat. Selain itu, beliau juga memaklumkan permohonan untuk membina dataran kejat di kawasan hadapan bangunan sekolah ini telah dipanjangkan ke pihak berkaitan dan dalam proses penelitian lanjut.

Jengka 2 : Program Motivasi Calon SPM & STPM

10 November 2009 : Pada pagi ini, Dato' Shahaniza telah bertemu dengan calon-calon SPM dan STPM SMK Jengka 2. Pertemuan ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada calon-calon ini bagi menghadapi peperiksaan tersebut pada minggu hadapan.

Dalam ucapannya, Dato' Shahaniza memberi beberapa nasihat dan tips kepada calon-calon peperiksaan ini. Selepas majlis, Dato' Shahaniza turut beramah mesra dengan calon-calon peperiksaan bagi meredakan ketegangan yang sedang di hadapi mereka.

Buat calon-calon SPM dan STPM 2009, diucapkan selamat berjaya !

11 November 2009

Jengka 3 : Sumbangan Keprihatinan

09 November 2009 - Atas dasar keperihatinan terhadap masalah kesihatan seorang penduduk di Jengka 3, Dato' Shahaniza telah menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada pesakit berkenaan, En. Wan Paridulatras bin Wan Ahmad.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (surat bertarikh 6 Oktober 2009), En. Wan Paridulatras, 40 tahun, telah menghadapi masalah kanser yang serius (stage 4).
Kanser tersebut telah melibatkan bahagian hidung kiri, mata kiri, sebahagian otak dan kini semakin merebak ke mata kanan. Oleh itu, satu pembedahan besar perlu dilakukan bagi membuang kawasan terjejas akibat kanser selain membuat pembetulan wajah (facial reconstruction). Khidmat pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian digunakan bagi proses pembedahan plastik ini.
Oleh yang demikian, jika pengunjung blog ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan, sila berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul di talian 09 4764302. Sumbangan anda amatlah bermakna untuk ketua keluarga kepada 6 orang anak ini.
Powered By Blogger