09 Disember 2010

Sinar Harian : PM beri peruntukkan khas RM100,000

Sumber : Sinar Harian Online


JENGKA 3 – Atas keprihatinan kerajaan dan tanggungjawab membangunkan masyarakat setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menerima peruntukan tambahan untuk projek kecil kawasan DUN bagi tahun 2010.

DUN Kuala Sentul antara yang terawal menerima peruntukan khas Perdana Menteri itu dengan jumlah RM100,000 bagi setiap kawasan DUN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, semua projek yang mendapat kelulusan peruntukan dalam kawasan DUN Kuala Sentul akan menerima cek Out-Right Grand (OG) mereka.

“RM62,200 peruntukan dibayar melalui tuntutan manakala RM37,800 dibayar secara tunai menerusi cek Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Peruntukan tambahan ini adalah sebagai inisiatif kerajaan dalam membantu pembangunan setempat sejajar dengan usaha untuk meningkatkan pembangunan masyarakat luar bandar terutamanya,” katanya.

Shahaniza berkata, antara projek yang mendapat kelulusan peruntukan ialah sumbangan untuk membeli mesin pengacau dodol bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Kekwa Jengka 5 berjumlah RM3000.

“Diharapkan dengan peruntukan yang diperolehi ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka dalam melahirkan usahwan di masa hadapan.

“Usaha ini wajar dicontohi semua dalam mewujudkan masyarakat berdaya maju serta memikirkan kaedah yang terbaik dalam terus meningkatkan taraf hidup dengan mewujudkan peluang perniagaan untuk masyarakat setempat,” katanya.

Agihan turut diberikan bagi membaik pulih astaka Masjid Felda Jengka 2 dengan peruntukan RM2,500 serta projek membaik pulih bilik bacaan dan pembelian peralatan bilik bacaan JKKK Jengka 5 dengan jumlah peruntukan RM4,000.

07 Disember 2010

Sg Jerik : Projek Perumahan


Sumber : Sinar Harian Online

Sungai Jerik lokasi kedua

SUNGAI JERIK - Pekan Sungai Jerik merupakan lokasi kedua yang diberi keutamaan di seluruh negara untuk pelaksanaan projek pembinaan perumahan kos rendah bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, projek yang membabitkan tanah swasta itu sudah dibincangkan dan kini hanya menunggu proses teknikal sebelum sebarang pelaksanaan dilakukan.

Menurutnya, kerajaan tiada halangan meluluskan projek itu untuk dilaksanakan namun tidak semua rumah yang bakal dibina adalah rumah kos rendah.

“Hanya 40 peratus sahaja rumah murah dan selebihnya adalah sederhana kerana ini diusahakan pihak swasta kerana mereka juga mahu keuntungan dalam perniagaan.

“Maka tidak semua pemohon layak membeli rumah kos rendah dan saya berharap penduduk setempat memahami situasi ini.

“Pihak pemaju akan cuba segerakan projek berkenaan tetapi ia mengambil masa kerana membabitkan satu negara,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini berhubung 70 keluarga India dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul yang minta pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan bagi menyediakan tanah bergeran kepada kaum itu supaya dapat dibangunkan untuk pembinaan rumah atau pertanian.

Shahaniza berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada masyarakat setempat berkenaan masalah penempatan tambahan melalui projek perumahan termasuk untuk generasi kedua Felda.

Menurutnya, pekan Sungai Jerik sememangnya mempunyai masalah kekurangan kawasan perumahan dan kerajaan akan cuba mengatasi isu itu dengan mengambil kira faktor berkaitan.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Maran memberi sokongan kuat bagi permohonan mendapatkan perumahan kos untuk menampung pertambahan penduduk,” katanya.