03 Januari 2011

Sinar Harian : Persatuan Belia Perlu Lebih Agresif


KAMPUNG JARA - Persatuan belia diminta agar memainkan peranan masing-masing dengan lebih aktif bagi membantu kerajaan membangunkan bidang sukan pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, semua persatuan belia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya perlu bekerjasama dengan pihak lain bagi membantu memajukan bidang itu.

Menurutnya, pada masa sama, kerajaan juga akan mewujudkan lebih banyak program pembangunan sukan untuk generasi muda di setiap daerah.

“Kita juga berharap lebih banyak kejohanan akan diwujudkan oleh setiap persatuan.

“Pada hari ini juga sudah banyak projek pembangunan sukan dilaksanakan termasuk sukan bola sepak, badminton dan hoki,” katanya ketika menyempurnakan Penutupan Kejohanan Futsal Tertutup Kampung Jara, di sini.
Shahaniza berkata, belia perlu komited membudayakan slogan `sukan untuk semua’ kerana ia berpotensi mewujudkan masyarakat cergas, berintegriti dan berdaya saing menangani cabaran.

Menurutnya, pembabitan semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan swasta dalam sukan akan dapat menghidupkan budaya bertegur sapa, bersatu padu sambil menegakkan kehebatan secara positif.

“Pemimpin masyarakat dan masyarakat setempat sebagai teras dan penghubung dalam melaksana program mampu menggerakkan semua agensi kerajaan dan swasta membabitkan diri dalam aktiviti sukan,” katanya.

Tiada ulasan:

Powered By Blogger