HOTLINE SKUAD PRIHATIN DUN KUALA SENTUL
019 983 6766 ( Sdr Mukaram Shah)
6 Disember 2009 : Hari ini cuaca semakin baik. Tinjauan pagi tadi menunjukkan paras air di sungai-sungai utama di Dun ini dalam keadaan normal.
5 Disember 2009 : Cuaca hari ini masih lagi hujan di awal pagi, namun tidak selebat semalam. Cuaca yang baik di waktu tengah hari dan petang membuatkan paras air sungai-sungai di Dun Kuala Sentul hampir kembali ke paras normal.
Setakat maklumat ini ditulis, tiada lagi penduduk Dun ini yang dipindahkan akibat terjejas banjir.
4 Disember 2009 (3.00 ptg) : Cuaca yang mendung dan tidak hujan sejak tengah hari memberi nafas lega kepada penduduk. Paras air sungai semakin surut dan diharap akan kembali ke paras normal.
Dato' Shahaniza petang ini membuat tinjauan di sekitar Dun Kuala Sentul. Dalam tinjauan ke kawasan berisiko banjir, beliau melahirkan kebimbangan jika hujan semula dengan lebat akan mengakibatkan ada kawasan perumahan yang akan dinaiki air.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai yang terlibat dengan banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah. Beliau juga telah mengarahkan SKUAD PRIHATIN Dun Kuala Sentul agar bersiap sedia memberi bantuan kepada mangsa banjir. Skuad Perihatin boleh dihubungi melalui Saudara Mukaram Shah - 019 983 6766
4 Disember 2009 (9.00pg) : Hujan sejak jam 3.00 pagi tadi membuatkan penduduk dalam keadaan kebimbangan jika terjadi banjir seperti yang berlaku pada Disember 2007. Tinjauan krew blog ke beberapa kawasan sekitar Dun Kuala Sentul mendapati paras air sungai mula naik namun masih di bawah paras waspada. Dibawah ini adalah paras air Sungai Jempol pada jam 8.00 pagi tadi di dua lokasi iaitu ;
Jambatan berhampiran Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka
Jambatan berhampiran Loji Air Jengka 3-7 (di Jengka 4)
Tinjauan melalui laluan jalanraya melalui Jengka 1, Sg Jerik, Ulu Jempul, Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 mendapati semua laluan masih boleh dilalui dengan selamat oleh kenderaan kecil. Namun begitu, pemandu dinasihatkan berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang dilintasi air dan wujud air bertakung di atas jalanraya. Antara lokasi air bertakung adalah di berhampiran Stesen Minyak BHP Sg Jerik, berhampiran simpang masuk Ulu Jempul dan di Jengka 3.
Beberapa kawasan yang biasa terjadi banjir juga masih dalam keadaan baik. Kayu pacang merah-putih yang dipasang sebagai tanda kawasan banjir juga perlu menjadi panduan kepada pemandu agar lebih berhati-hati di kawasan ini. Berikut adalah dua lokasi yang biasa terjadi banjir dan gambar ini di ambil jam 8.00 pagi tadi ;
Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka (km 27 Jalan Maran - Sg Jerik)
Km 31 Jalan Maran - Bandar Jengka ( di Jengka 5 )
Selain itu, pemandu yang biasa menggunakan laluan pintas Jengka 5 - Kg Kuala Sentul dinasihatkan tidak menggunakan laluan ini di musim hujan kerana keadaan tidak sesuai untuk kenderaan kecil (tetapi masih boleh dilalui). Ini berikutan kerja-kerja menaiktaraf laluan ini sedang dijalankan dan terdapat kawasan yang melibatkan penstrukturan semula tanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan