02 Februari 2011

Selamat Tahun Baru Cina

Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin dan seluruh warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada mereka yang menyambutnya, khususnya penduduk kaum Cina di Pekan Sungai Jerik. Dalam kenyataannya, Adun Kuala Sentul berharap semua pihak dapat menghayati makna tersirat dalam perayaan ini apatah lagi kita semua hidup dalam lingkungan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Bagi anak-anak perantauan yang akan pulang ke kampung halaman (terutamanya kampung-kampung dan Felda-Felda di dalam Dun Kuala Sentul), beliau mengucapkan selamat kembali kepada keluarga masing-masing dan berharap mereka dapat menggunakan peluang bercuti ini bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Selain itu, gunakanlah peluang kembali ke kampung halaman ini bagi mencurahkan idea bagi terus memajukan kampung halaman sendiri.

Bagi yang akan pergi bercuti, beliau berharap agar dapat berhati-hati dijalanraya dan didoakan semoga selamat tiba ke destinasi yang dituju. Selamat Bercuti !

01 Februari 2011

Kg Jara : Banjir - Penduduk Dipindahkan


Kg Jara - Bimbang paras air sungai semakin meningkat dan mula membanjiri kawasan kediaman sedalam kira-kira dua kaki, 24 keluarga dari Kampung Jara, di sini mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang penduduk, Mohd Ropi Jusoh, 36, berkata, berdasarkan pengalaman lalu, penduduk terbabit akan berhadapan dengan pelbagai masalah jika tidak berpindah ketika air sungai sudah membanjiri rumah mereka.

Menurutnya, hujan tidak menentu sejak lima hari lalu menyebabkan air Sungai Jempol melimpah dan pada jam 6 petang semalam (kelmarin), beberapa rumah penduduk mula dimasuki air.

“Saya lima beranak mengalihkan perabot dan kelengkapan rumah ke tempat selamat dan sentiasa dalam berjaga-jaga kerana khuatir banjir lebih teruk.

“Ini bukan kejadian pertama dan hampir setiap tahun kami mengharungi banjir maka pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk bersedia berpindah,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk, Fauzi Abdul Rashid, 43, berkata, dalam kejadian semalam, air sungai mula membanjiri dan memasuki bahagian dapur rumah beliau pada jam 3 pagi.

Menurutnya, hujan lebat dan tidak menentu menyebabkan beliau enam beranak tidak tidur lena kerana yakin air sungai akan terus melimpah memasuki kawasan rumah.

“Keesokannya, kami dinasihati berpindah kerana air masih belum surut dan bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya banjir lebih teruk.

“Kampung ini adalah penempatan pertama dalam daerah Maran yang berisiko dilanda banjir maka kehidupan di pusat pemindahan banjir bukan asing lagi,” katanya.

Alami kerugian hampir RM50,000 Fauzi yang juga pengusaha tanaman pisang Nangka dan getah terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 apabila kebun seluas enam ekar itu dibanjiri air setinggi empat kaki.

Menurutnya, tanaman pisang itu diusahakan sejak 10 bulan lalu dan mula mengeluarkan jantung untuk kali pertama.

“Akibat ditenggelami air sejak empat hari, pokok pisang rosak dan akan mati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Jara, Hassan Kaalil Abdullah berkata, kesemua 72 mangsa dari 24 keluarga terlibat akan bermalam di balai raya kampung itu yang dijadikan pusat pemindahan.

Menurutnya, tindakan memindahkan penduduk diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan memandangkan hujan tidak menentu.

“Buat sementara, mereka akan berada di pusat pemindahan dan akan pulang ke rumah masing-masing jika air surut,” katanya.

Hassan berkata, laluan di hadapan Kuil Marathandavar terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan apabila dinaiki air setinggi tiga meter.

“Namun laluan alternatif menggunakan kawasan perkarangan kuil dibuka untuk orang ramai,” katanya.

16 Januari 2011

Sinar Harian : Daif Tanah Ladang Dipajak

Sumber : Sinar Harian Edisi Pahang

JENGKA 1 – Seorang ibu tunggal ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila hidupnya yang sebelum ini kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mungkin tidak mampu lagi menampung kehidupannya akan datang.

Che Su Abu Bakar, 53, berkata, kehidupannya bertambah perit sejak ladang sawitnya seluas 10 ekar dipajakkan arwah suaminya untuk tempoh 10 tahun kepada pihak ketiga. Menurutnya, selepas tamat tempoh pajakan 10 tahun dan sejak kematian suami beberapa tahun lalu, dia menyambung tempoh pajakan untuk lima tahun lagi bagi memperoleh wang untuk memperbaiki rumahnya. “Namun kerja pembinaan rumah di belakang rumah asal saya terbengkalai malah rumah asal yang diduduki kini juga semakin uzur."

“ Sebelum ini perbelanjaan harian diperoleh melalui hasil upah mengutip buah kelapa sawit relai namun sejak seminggu yang lalu saya tidak mampu lagi bekerja kerana di serang strok,” katanya. Menurutnya, kini dia hanya bergantung harap kepada anak juga jiran-jiran serta pengurusan setempat yang membantu menghulurkan bantuan.

Che Su ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin, pengurusan Felda juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menitiskan air mata sambil menceritakan penderitaannya.

Sinar Harian turut dimaklumkan bahawa tempoh pajakan ladang sawit Che Su bagi keluasan lima ekar akan tamat pada November ini manakala lebihan lima ekar lagi akan tamat pada 2015.

Shahaniza turut memberikan sumbangan peribadi dan menasihatkan kepada Che Su untuk menyerahkan ladang sawitnya kepada pihak pengurusan Felda setelah mendapat semula ladangnya daripada pemajak agar nasibnya lebih terbela.

“Alhamdulillah Che Su mendengar nasihat dan tidak mahu lagi tinggal dalam keadaan kedaifan ini lagi atas kesilapannya membuat keputusan untuk menyerahkan ladangnya kepada pihak ketiga dan bukannya kepada pengurusan Felda selepas memperoleh ladangnya kembali kelak."

“Kes yang berlaku kepada Che Su ini bukanlah kes pertama yang saya temui namun banyak lagi kes seumpama ini berlaku kepada para peneroka dan saya bertanggungjawab menasihatkan para peneroka agar tidak terburu-buru untuk memperoleh keuntungan cepat dengan bertindak menyerahkan ladang kepada pihak ketiga,” katanya.

Shahaniza menasihatkan peneroka terus bersama pihak Felda dengan pelbagai faedah yang disediakan di samping wang pendapatan hasil jualan sawit setiap bulan, mereka juga layak untuk memohon pelbagai pinjaman samada pinjaman perumahan atau pendidikan.

Shahaniza juga turut memaklumkan akan cuba memanjangkan permohonan Che Su kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperoleh bantuan memperbaiki rumahnya yang terbengkalai.

~

*** Baca juga kisah ini di Blog Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin.

~

08 Januari 2011

Utusan Malaysia : Program Semarak Ukhuwah Orang Asli capai matlamat


MARAN 7 Jan. - Program Semarak Ukhuwah Orang Asli yang diadakan di dua perkampungan di sini baru-baru ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memahami masalah yang dihadapi kaum minoriti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, dua kampung terbabit adalah Kampung Bangas dan Kampung Sungai Jempol yang didiami kira-kira 500 penduduk Orang Asli.

Menurut beliau, program tersebut sekali gus membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib kaum minoriti itu.

''Kegiatan harian penduduk khususnya generasi muda Orang Asli tidak jauh berbeza dengan masyarakat lain di negara ini khususnya golongan muda yang memerlukan hiburan dan kemudahan sukan.

''Generasi muda Orang Asli kini semakin ramai yang berpendidikan sekolah menengah dan meminati hiburan muzik terkini serta meminati sukan bola sepak.

''Ini terbukti apabila mereka beramai-ramai menonton siaran langsung pertandingan akhir Piala Suzuki melalui skrin besar di kampung tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas program itu di Kampung Sungai Jempol di sini hari ini.

Antara aktiviti dijalankan sepanjang program sehari itu ialah ziarah dari rumah ke rumah, bantuan persekolahan, pertandingan nyanyian dan sumbangan pakaian.

Menurut Shahaniza, kehidupan masyarakat Orang Asli di dua perkampungan itu boleh dijadikan contoh kepada kaum orang Asli lain dari segi perpaduan, kekuatan ekonomi, sosial dan pendidikan.

''Program ini berjalan lancar dan menepati sasarannya iaitu merapatkan silaturahim selain memberi mesej bahawa kerajaan tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli,'' katanya.

Terdahulu, Shahaniza menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan nyanyian, Mariah Panjang, 27, dan sumbangan baju jersi kepada pasukan bola sepak Orang Asli dari Kampung Bangas dan Kampung Sungai Jempol.

Sinar Harian : Beri khidmat terbaik


BANDAR MARAN - Penjawat awam perlu berani melakukan perubahan ke arah penambahbaikan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mengetahui akan hak mereka selain arif memilih dan sentiasa menilai perkhidmatan diberikan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pendekatan kreatif dan inovatif akan melahirkan penjawat awam yang lebih cekap, responsif serta fleksibel dalam memikul tanggungjawab.

Menurutnya, cabaran utama adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang menjadi kayu ukur keberkesanan dan kerelevanan perkhidmatan awam.

“Ia boleh dilakukan dengan mudah, iaitu dengan cara melayani pelanggan sebagaimana diri kita ingin dilayani selain meletakkan diri kita sebagai seorang pelanggan.

“Rata-rata pelanggan memerlukan nasihat, perkhidmatan, penjelasan atau jawapan kepada masalah yang dihadapi.

“Permohonan atau perkhidmatan selama ini yang mengambil masa lama untuk diproses perlu dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti serta berlandaskan peraturan berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Suratan Hak Milik Sementara Dalam Tempoh Satu Hari di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Maran, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Sri Muhammad Safian Ismail; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Azizan Ahmad dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.

Mohd Sidek berkata, pelaksanaan inovasi itu satu lonjakan besar dalam proses pentadbiran daerah dan ia perlu diperkembangkan ke semua agensi kerajaan.

Menurutnya, ia diharap dilaksanakan secara berterusan dan konsisten dengan fikiran yang positif serta terbuka.
Powered By Blogger