04 Disember 2009

Tengkujuh : Situasi Paras Air di DUN Kuala Sentul


HOTLINE SKUAD PRIHATIN DUN KUALA SENTUL
019 983 6766 ( Sdr Mukaram Shah)

6 Disember 2009 : Hari ini cuaca semakin baik. Tinjauan pagi tadi menunjukkan paras air di sungai-sungai utama di Dun ini dalam keadaan normal.

5 Disember 2009 : Cuaca hari ini masih lagi hujan di awal pagi, namun tidak selebat semalam. Cuaca yang baik di waktu tengah hari dan petang membuatkan paras air sungai-sungai di Dun Kuala Sentul hampir kembali ke paras normal.
Setakat maklumat ini ditulis, tiada lagi penduduk Dun ini yang dipindahkan akibat terjejas banjir.

4 Disember 2009 (3.00 ptg) : Cuaca yang mendung dan tidak hujan sejak tengah hari memberi nafas lega kepada penduduk. Paras air sungai semakin surut dan diharap akan kembali ke paras normal.
Dato' Shahaniza petang ini membuat tinjauan di sekitar Dun Kuala Sentul. Dalam tinjauan ke kawasan berisiko banjir, beliau melahirkan kebimbangan jika hujan semula dengan lebat akan mengakibatkan ada kawasan perumahan yang akan dinaiki air.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai yang terlibat dengan banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah. Beliau juga telah mengarahkan SKUAD PRIHATIN Dun Kuala Sentul agar bersiap sedia memberi bantuan kepada mangsa banjir. Skuad Perihatin boleh dihubungi melalui Saudara Mukaram Shah - 019 983 6766

4 Disember 2009 (9.00pg) : Hujan sejak jam 3.00 pagi tadi membuatkan penduduk dalam keadaan kebimbangan jika terjadi banjir seperti yang berlaku pada Disember 2007. Tinjauan krew blog ke beberapa kawasan sekitar Dun Kuala Sentul mendapati paras air sungai mula naik namun masih di bawah paras waspada. Dibawah ini adalah paras air Sungai Jempol pada jam 8.00 pagi tadi di dua lokasi iaitu ;
Jambatan berhampiran Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka
Jambatan berhampiran Loji Air Jengka 3-7 (di Jengka 4)

Tinjauan melalui laluan jalanraya melalui Jengka 1, Sg Jerik, Ulu Jempul, Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4 dan Jengka 5 mendapati semua laluan masih boleh dilalui dengan selamat oleh kenderaan kecil. Namun begitu, pemandu dinasihatkan berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang dilintasi air dan wujud air bertakung di atas jalanraya. Antara lokasi air bertakung adalah di berhampiran Stesen Minyak BHP Sg Jerik, berhampiran simpang masuk Ulu Jempul dan di Jengka 3.
Beberapa kawasan yang biasa terjadi banjir juga masih dalam keadaan baik. Kayu pacang merah-putih yang dipasang sebagai tanda kawasan banjir juga perlu menjadi panduan kepada pemandu agar lebih berhati-hati di kawasan ini. Berikut adalah dua lokasi yang biasa terjadi banjir dan gambar ini di ambil jam 8.00 pagi tadi ;
Simpang Sg Jerik ke Bandar Jengka (km 27 Jalan Maran - Sg Jerik)
Km 31 Jalan Maran - Bandar Jengka ( di Jengka 5 )

Selain itu, pemandu yang biasa menggunakan laluan pintas Jengka 5 - Kg Kuala Sentul dinasihatkan tidak menggunakan laluan ini di musim hujan kerana keadaan tidak sesuai untuk kenderaan kecil (tetapi masih boleh dilalui). Ini berikutan kerja-kerja menaiktaraf laluan ini sedang dijalankan dan terdapat kawasan yang melibatkan penstrukturan semula tanah.

03 Disember 2009

Jengka 1 : Undangan Majlis Perkahwinan

29 Oktober 2009 : Kehadiran Dato' Shahaniza amat ditunggu-tunggu oleh tuan rumah. Walaupun hadir sebagai tetamu terakhir, Dato' Shahaniza dilayan mesra dan sempat bergambar dengan pasangan pengantin baru.

Lubuk Yu : Lawatan Tinjauan

29 Oktober 2009 : Kawasan rekreasi Lubuk Yu sememangnya terkenal dikalangan penduduk tempatan sebagai kawasan perkelahan yang menarik, cantik dan mempunyai sungai yang jernih. Kawasan ini amat sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah lagi destinasi perlancongan di Pahang.
Dengan keindahan hutan semulajadi dan air sungai yang mengalir deras melalui jeram, kawasan ini menjadi tumpuan terutamannya di hujung minggu dan cuti umum.
Kehadiran pengunjung juga dapat menjana ekonomi setempat. Namun begitu, jika diperhatikan, banyak lagi kemudahan perlu dibina di kawasan ini seperti tempat meletak kenderaan, zon perniagaan, tandas, surau tertutup dan kawalan keselamatan.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza bersama Penghulu Mukim Chenor (Kuala Sentul) dan beberapa pemimpin tempatan Sg Jerik mengadakan lawatan tinjuan ke kawasan ini. Hari Ahad yang kebetulan juga cuti musim perayaan sengaja dipilih bagi meninjau keadaan di sini apabila pengunjung yang datang adalah di tahap maksimum. Pelbagai rumusan telah dibuat melalui tinjauan ini dan akan diserahkan kepada Kementerian Perlancongan Malaysia bagi memohon menaiktaraf kawasan rekreasi ini.
Terkini ;
Pejabat Dun Kuala Sentul melalui Pejabat Daerah Maran telah menghantar permohonan berjumlah RM 3 juta bagi menaiktaraf kawasan Lubuk Yu sebagai destinasi perlancongan bertaraf nasional.
Berita lanjut di Sinar Harian Online : klik sini

Ulu Jempul : Undangan Majlis Perkahwinan

29 November 2009 : Hari ini Dato' Shahaniza memenuhi undangan majlis perkahwinan anak En Ideris Shah Musa dan Pn Juriah Jusoh di Ulu Jempul.
Majlis perkahwinan yang diadakan ini meriah dan turut dihadiri oleh rakan-rakan tuan rumah dari pelbagai bangsa.
Dato' Shahaniza turut meraikan pengantin baru, Pn Nor Nadira Ideris Shah dengan pasangannya dari Pasir Mas, Kelantan, En Mohd Asmawi Che Omar.

02 Disember 2009

Kg Kuala Sentul : Majlis Jalinan Kasih Aidil Adha 2009

29 November 2009 : Cuti umum sempena Aidil Adha diambil kesempatan oleh penduduk Kampung Kuala Sentul bagi mengadakan Majlis Jalinan Kasih 2009. Majlis ini bertujuan merapatkan hubungan sesama penduduk dan generasi pelapis terutamanya yang telah berhijrah ke bandar. Dato' Shahaniza hadir merasmikan program ini.
Menurut Ketua Kampung Kuala Sentul, En Mohd Asri Mat Piah, majlis ini adalah sebagai acara suai kenal bagi merapatkan silaturahim sesama penduduk terutamanya dikalangan anak rantau. Melalui pertemuan ini, beliau juga berharap ikatan yang telah terjalin akan bertambah kukuh di kalangan penduduk kampung ini.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa bangga dengan usaha pemimpin kampung ini dengan majlis seumpama ini. Tambahnya lagi, dalam hidup bermasyarakat dikampung, sikap bantu-membantu dan tolenrasi amat penting demi kesejateraan semua.
Majlis ini diadakan dalam suasana perayaan Aidil Adha. Majlis yang diadakan secara sederahan tetapi meriah ini juga mendapat liputan dari unit berita TV RTM.

Powered By Blogger