09 November 2009

Mesyuarat Jawatankuasa Nadi

09 November 2009 (Isnin) - Satu Mesyuarat Jawatankuasa Nadi DUN Kuala Sentul kali pertama telah diadakan. Antara lain agenda mesyuarat kali ini adalah untuk membincangkan pelaksanaan aktiviti peringkat DUN Kuala Sentul.
Bagi aktiviti selepas ini, pada 22 November 2009 (Ahad) akan diadakan "Karnival Keluarga 1Malaysia Bersama Nestle 2009". Program ini akan bermula jam 9 pagi dengan pengisian acara pertandingan mengacau dodol dan memasak nasi goreng. Bagi kanak-kanak, akan diadakan aktiviti pertandingan mewarna dan mengutip gula-gula.

Sumbangan Pihak Korporat

09 November 2009 (Isnin) - Tertarik dengan artikel dalam Harian Metro pada Sabtu lepas, sebuah syarikat berasaskan makanan tambahan jenama Mineto, menyerahkan sumbangan berupa pakej rawatan kulit kepada seorang pesakit kulit bersisik, En. Mohd Shukur Abdul Rahman dari Jengka 3.
Sumbangan disampaikan oleh YB Dato' Shahaniza kepada En. Mohd Shukur sambil disaksikan oleh penyumbang, En. Azam Bakar dari Kuantan. Pada peringkat awal, pakej rawatan ini merangkumi bekalan makanan tambahan selama sebulan bagi merawat penyakit kulit bersisik En. Mohd Shukur yang dihadapi sejak lahir.

Kg Baru Jara : Lawatan Ke Kebun Jagung

08 November 2009 (Ahad) - Atas undangan seorang pekebun kecil yang mengusahakan tanaman jagung, YB Dato' Shahaniza telah sudi berkunjung ke kebun tersebut pada petang ini. Kehadiran Dato' Shahaniza sekeluarga disambut mesra oleh pemilik kebun, En Sabri Abd Majid. Tanaman jagung madu dengan baka dari Taiwan itu telah diusahakan oleh beliau sejak beberapa bulan yang lepas.
Ketika di kebun jagung tersebut, Dato' Shahaniza telah meluangkan masa kira-kira 2 jam bagi mendengar penerangan dari pekebun tersebut dan berkongsi maklumat berkaitan pertanian jagung. Dato' Shahaniza juga turut memberi beberapa info yang berguna untuk pekebun tersebut, termasuk peluang kursus pertanian sama ada dalam atau luar negara.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza melahirkan rasa bangga dan kagum dengan usaha pekebun kecil seperti ini yang menyokong program Bumi Hijau bagi menambah keperluan makanan negara. Beliau juga berharap aktiviti sebegini akan menjadi contoh dan motivasi kepada belia-belia lain untuk turut sama merebut peluang seperti ini kerana pada masa kini, pertanian adalah perniagaan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Bumi Hijau - klik sini.

06 November 2009

Jengka 1 : Program Ziarah

06 November 2009 (Jumaat) - Dalam kepadatan jadual harian, YB Dato' Shahaniza sempat meluangkan masa kira-kira 1 jam menziarahi sebuah keluarga di Jengka 1 yang baru sahaja kehilangan ibu tersayang pada awal pagi tadi. Dato' Shahaniza tiba di rumah keluarga terbabit jam 8 malam bagi menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral kepada keluarga tersebut.
Difahamkan penerokawati tersebut kembali ke rahmatullah akibat kanser pangkal rahim.
Sehubungan itu, Dato' Shahaniza menasihatkan kaum wanita untuk menjalani ujian 'pap smear', apatah lagi jika mengalami simptom-simptom sebelum merebak ke organ lain. Beliau juga berharap kaum wanita dan lelaki dapat menjaga dan memeriksa kesihatan diri disamping kesibukan tugas seharian.
Maklumat lanjut berkaitan kanser pangkal rahim : klik sini

Kg Kuala Sentul : Program Bacaan Ya'sin

06 November 2009 (Jumaat) - Seperti tradisinya, program bacaan Ya'sin DUN Kuala Sentul hari ini diadakan pula di Kampung Kuala Sentul. Hadir dalam program ini adalah YB Dato' Shahaniza selaku ADUN Kuala Sentul dan teraju utama program ini. Rumah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kuala Sentul menjadi lokasi program yang bermula sejak jam 3 petang ini.
Dalam pada itu, Dato' Shahaniza berharap melalui program sebegini akan dapat mengeratkan silaturahim antara beliau dengan penduduk Kampung Kuala Sentul, terutama golongan wanita. Selain itu, kesempatan yang ada digunakan oleh beliau bagi mendengar luahan masalah dan pandangan dari golongan wanita yang turut sama dalam program ini.
Program bacaan Ya'sin adalah program mingguan (setiap Jumaat) DUN Kuala Sentul dengan giliran mengikut kampung atau rancangan Felda di bawah DUN ini.
Powered By Blogger