23 Julai 2010

Operasi pembersihan perkelahan Lubuk Yu bermula

UTUSAN MALAYSIA : 22 Julai 2010 – Seramai 52 kakitangan dan pegawai daripada beberapa agensi kerajaan mula membersihkan kawasan perkelahan Lubuk Yu di sini hari ini bagi memastikannya bebas daripada wabak Melioidosis (kuman dari air dan tanah) dan Leptospirosis (air kencing tikus).

Operasi bermula pukul 10 pagi itu melibatkan Jabatan Kesihatan negeri, Pejabat Daerah Maran, Majlis Daerah Maran, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Bekalan Air (JBA).

Semasa operasi itu, mereka yang lengkap memakai pakaian pelindung, topeng dan but secara bergilir-gilir memasuki pusat rekreasi tersebut bagi menjalankan kerja pembersihan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Rosnah Ismail berkata, petugas terlibat dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi melaksanakan empat tugasan utama dalam tempoh empat jam.

“Operasi pertama yang dijalankan adalah membasmi kuman disusuli dengan mengutip sampah dan mencuci kawasan sebelum kerja membasmi kuman dilakukan semula di lokasi itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan seramai enam penduduk yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu maut akibat jangkitan Melioidosis dan Leptospirosis.

Tambah beliau, selepas operasi pembersihan ini, pihaknya akan memberi tempoh inkubasi sehingga Rabu depan bagi memastikan tiada kes baru dicatatkan sebelum kawasan berkenaan disahkan bebas daripada bakteria berbahaya itu.

Meskipun begitu, beliau berkata, Lubuk Yu masih lagi ditutup bagi membolehkan jawatankuasa kecil teknikal yang terdiri daripada wakil Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan mengenal pasti punca kejadian dan menilai tahap risiko kawasan itu.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Powered By Blogger