16 Julai 2010

Operasi Pembersihan Lubuk Yu Khamis Depan

15 Julai (Bernama) -- Operasi pembersihan secara bersepadu akan dijalankan di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran pada Khamis depan bagi menangani wabak Melioidiosis dan Leptospirosis yang dikesan berlaku di kawasan itu baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Muhammad Safian Ismail berkata operasi itu akan membabitkan 54 anggota dari enam agensi kerajaan iaitu Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Bekalan Air dan Majlis Daerah Maran.

"Operasi pembersihan ini melibatkan pembuangan sampah, memotong rumput dan semburan disinfeksi bagi membasmi kuman," katanya pada sidang akhbar di sini, hari Khamis.

Muhammad Safian berkata langkah itu merupakan tindakan segera Jawatankuasa Kecil Bencana yang ditubuhkan hasil mesyuarat kerajaan negeri Pahang, semalam.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan berfungsi membincang dan menyelaras perkara berkaitan wabak terbabit termasuk mengenalpasti punca, kawalan dan langkah-langkah mencegah penularannya.

Ditanya sama ada pusat rekreasi itu akan dibuka kepada pengunjung selepas operasi pembersihan, Muhammad Safian berkata pemantauan lebih rapi akan dibuat sebelum ia dibuka semula.

Beliau berkata pihaknya turut memantau aliran air termasuk di loji air Ulu Jempul yang terletak paling hampir dengan pusat rekreasi itu bagi mengelak jangkitan bakteria itu.

"Setakat ini air di loji terbabit menepati piawaian Jabatan Kesihatan namun kami nasihatkan orang ramai supaya memasak air sebelum diminum," katanya.

Sehingga kini, 15 orang disahkan dijangkiti bakteria itu ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran antara 26 dan 30 Jun lepas.

Enam daripada mereka meninggal dunia, tiga telah dibenar keluar dari wad, satu kes dipantau di rumah manakala lima lagi masih dirawat di hospital.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Powered By Blogger