Sumber : Sinar Harian Online
Sungai Jerik lokasi kedua
SUNGAI JERIK - Pekan Sungai Jerik merupakan lokasi kedua yang diberi keutamaan di seluruh negara untuk pelaksanaan projek pembinaan perumahan kos rendah bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, projek yang membabitkan tanah swasta itu sudah dibincangkan dan kini hanya menunggu proses teknikal sebelum sebarang pelaksanaan dilakukan.
Menurutnya, kerajaan tiada halangan meluluskan projek itu untuk dilaksanakan namun tidak semua rumah yang bakal dibina adalah rumah kos rendah.
“Hanya 40 peratus sahaja rumah murah dan selebihnya adalah sederhana kerana ini diusahakan pihak swasta kerana mereka juga mahu keuntungan dalam perniagaan.
“Maka tidak semua pemohon layak membeli rumah kos rendah dan saya berharap penduduk setempat memahami situasi ini.
“Pihak pemaju akan cuba segerakan projek berkenaan tetapi ia mengambil masa kerana membabitkan satu negara,” katanya .
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini berhubung 70 keluarga India dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul yang minta pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan bagi menyediakan tanah bergeran kepada kaum itu supaya dapat dibangunkan untuk pembinaan rumah atau pertanian.
Shahaniza berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada masyarakat setempat berkenaan masalah penempatan tambahan melalui projek perumahan termasuk untuk generasi kedua Felda.
Menurutnya, pekan Sungai Jerik sememangnya mempunyai masalah kekurangan kawasan perumahan dan kerajaan akan cuba mengatasi isu itu dengan mengambil kira faktor berkaitan.
“Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Maran memberi sokongan kuat bagi permohonan mendapatkan perumahan kos untuk menampung pertambahan penduduk,” katanya.
1 ulasan:
Salam dato..kenapa tak diusulkan projek rumah pangsa kos rendah je..jimat tanah..
Catat Ulasan