29 Disember 2009

Bonus : Insentif Produktiviti Peneroka Felda

Dalam satu kenyataan ringkas daripada Felda, sejumlah RM 13.6 juta telah diperuntukkan bagi membayar Insentif Produktiviti peneroka Felda di Wilayah Jengka. Kadar bayaran adalah berbeza-beza berdasarkan hasil produktiviti setiap ladang peneroka Felda.
Bagi kelapa sawit, bayaran RM400 adalah bagi pengeluaran 8 tan metrik bagi setiap hektar, manakala RM 600 bagi 11 tan metrik perhektar, RM 800 bagi 13 tan metrik perhektar, RM 1,000 bagi 15 tan metrik perhektar dan bayaran sebanyak RM 1,200 bagi 17 tan metrik bagi setiap hektar dalam tahun 2009.
Bagi tanaman getah, bayaran RM400 adalah bagi pengeluaran 700kg bagi setiap hektar, manakala RM 600 bagi 1 tan metrik perhektar, RM 800 bagi 1.2 tan metrik per hektar, RM 1,000 bagi 1.4 tan metrik perhektar dan bayaran sebanyak RM 1,200 bagi 1.4 tan metrik bagi setiap hektar dalam tahun 2009.

Kg Baru Jara : Program Mengacau Bubur Asyura

27 Disember 2009 : Bersempena kedatangan Muharam 1430, penduduk Kampung Baru Jara telah mengadakan program mengacau bubur Asyura. Antara lain, program ini bertujuan merapatkan ukhwah sesama penduduk kampung dalam semangat gotong -royong.
Turut bersama dalam program ini adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin dan pemimpin-pemimpin setempat.

23 Disember 2009

Jengka 1 : Ziarah Mangsa Kebakaran

23 Disember 2009 : Pada hari Isnin yang lepas, sebuah premis kedai yang menjual pakaian, barang permainan dan jeruk buahan telah terbakar di Jengka 1. Kebakaran dikatakan berpunca akibat litar pintas dan kerugian ditaksirkan sebanyak RM 10,000.
Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin hari ini meluangkan masa hampir 1 jam meninjau kedai yang terbakar tersebut. Turut mengiringi beliau adalah Ketua Kampung Jengka 1, En Mohd Akhir Awang.
Dato' Shahaniza turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada peniaga tersebut, En Mohd Zaidi Mat Jusoh. Dato' Shahaniza juga telah meminta Urusetia Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul bagi menyediakan laporan kebakaran ini untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Beliau juga berharap mangsa kebakaran ini tabah menghadapi dugaan ini dan akan bangkit semula dalam perniagaannya.

Kg Baru Jara : Penyampaian Sumbangan

23 Disember 2009 : Kebakaran rumah beberapa bulan lepas mengakibatkan Pn Yang Timah Ismail telah kehilangan rumah yang didiami. Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kuala Sentul telah membawa permohonan bantuan bagi meringankan beban kepada keluarga ini dari pihak Kerajaan Negeri Pahang.
Hari ini bertempat di rumah saudaranya, Pn Yang Timah Ismail menerima bantuan tersebut yang disampaikan oleh Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Shamsuddin. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh beliau.

20 Disember 2009

Jengka 3 : Tahniah, Persatuan Belia Seri Dahlia

20 Disember 2009 - Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, telah di adakan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2009. Majlis kemuncak dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Turut hadir adalah Adun Kuala Sentul, Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin.
Pada majlis kemuncak tersebut, Persatuan Belia Felda Sri Dahlia Jengka 3 telah dinobatkan pemenang bagi Kategori Kemasyarakatan dan Kesukarelaan dengan membawa pulang RM 3 ribu. Anugerah utama telah dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Bukit Bading, Terengganu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Dato' Shahaniza berasa begitu bangga dengan kejayaan ini dan berharap ia akan menjadi pemangkin kepada pengurusan dan pentadbiran belia yang lebih aktif, dinamik dan berkesan di Dun Kuala Sentul.
Powered By Blogger