14 Julai 2011

Usaha Pulih Imej Lubuk Yu


ULU JEMPUL - Penduduk menyokong usaha Pejabat Pelancongan Negeri mempromosikan semula Hutan Lipur Lubuk Yu melalui Program “Moh Kayuh Ke Lubuk Yu” Sabtu ini kepada masyarakat dan meyakinkan mereka bahawa kawasan tersebut kini selamat untuk dikunjungi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Jempul, Ideris Shah Musa berkata, sebelum ini kawasan tersebut menjadi tumpuan malah ada di antara penduduk turut dapat menjana ekonomi melalui perniagaan kecil-kecilan di kawasan itu.

Menurutnya, penduduk di sini turut mendapat tempias kemeriahannya apabila pada hujung minggu kawasan ini dipenuhi pengunjung seterusnya peniaga di sekitar kawasan tersebut dapat menambah pendapatan berbeza pada hari biasa.

“Namun ekoran tragedi wabak penyakit yang melanda kawasan tersebut tahun lalu, kini kawasan rekreasi ini sunyi tanpa pengunjung dan pendapatan peniaga turut terjejas akibat kekurangan pengunjung.

“Namun usaha mempromosikan semula kawasan rekreasi Hutan Lipur Lubuk Yu amat dialu-alukan supaya kawasan ini kembali ceria seperti dahulu,” katanya.

Ideris Shah berkata, dengan kedudukannya kira-kira 30 kilometer dari Bandar Maran dan 15 kilometer dari Bandar Jengka, Hutan Lipur Lubuk Yu menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung.

“Pemandangan hutan dan lokasi perkelahan di beberapa lubuk di hutan lipur itu amat mengasyikkan malah menjadi kegilaan pencinta alam untuk berekreasi dan bersantai bersama rakan serta keluarga.

“Malah kawasan ini turut mempunyai lokasi mandi-manda yang cetek di bahagian bawah dengan susunan batu unik sesuai untuk perkelahan seisi keluarga malah pencinta alam pasti terpesona dengan aliran sungai dan kolam yang jernih malah keadaan ini boleh menenangkan jiwa individu yang sibuk dengan urusan kerja,” katanya.

22 Mac 2011

Usaha Kukuhkan Perpaduan


KAMPUNG JARA – Dalam apa juga keadaan, rakyat perlu mengetepikan perbezaan ideologi, warna kulit, agama dan keturunan bagi mengukuhkan perpaduan serta mengikis sifat individualisme.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, sikap saling menghormati dan semangat bersedia membantu antara satu sama lain penting dengan tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, rakyat perlu mengekalkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dan pelihara tanggungjawab supaya perpaduan terus utuh.

“Pelbagai projek pembangunan termasuk pembangunan modal insan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri akan terbantut tanpa perpaduan kukuh.

“Masyarakat perlu melipatgandakan usaha membangkitkan semangat rakyat dan sikap taat setia, bersatu padu serta kasihkan negara,” katanya ketika ditemui pada menyampaikan sagu hati kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kuil Marathandavar, di sini.

Lebih 500,000 penganut Hindu di negara ini berhimpun dan berkampung selama dua hari bagi menyambut perayaan Pangguni Uttiram di kuil itu.

Shahaniza berkata, masyarakat disaran sentiasa bersikap terbuka bagi mencapai persefahaman dan mengekalkan perpaduan.

“Setiap warganegara tidak seharusnya membiarkan ada pihak yang cuba menimbulkan suasana keruh dengan menyentuh sensitiviti kaum lain,” katanya.
Powered By Blogger